Tentera Boleh Buat Tangkapan, Pemeriksaan, Rampasan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mengeluarkan arahan menurunkan kuasa polis kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membuat penangkapan, pemeriksaan dan rampasan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021. 

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, arahan itu bertujuan meningkatkan keupayaan tindakan penguatkuasaan kerajaan dalam memerangi Covid-19. 

“Saya mengeluarkan arahan di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk menurunkan kuasa polis kepada ATM bagi membuat penangkapan, pemeriksaan dan rampasan semasa membantu agensi lain melakukan tugas pencegahan pendatang asing tanpa izin (Pati) dan operasi pencegahan Covid-19.

“Saya juga mengarahkan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berjumlah lebih 3 juta orang di seluruh negara untuk membantu tugasan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) di premis perniagaan dan tempat awam,” katanya dalam perutusan khas hari ini. 

Menurutnya, kerajaan juga akan melaksanakan Program Pemerkasaan Komuniti membabitkan pemimpin masyarakat setempat dalam kempen pencegahan Covid-19 di peringkat komuniti masing-masing. – myMetro Online