Tengkujuh: JPN Sedia Pelan Bantu Calon SPM, STPM Di Terengganu

KUALA TERENGGANU – Kesemua lapan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Terengganu telah menyediakan pelan tindakan khas bagi membantu 19,624 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta 2,367 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dapat menduduki peperiksaan sepanjang musim tengkujuh kali ini.

Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata PPD telah mengenal pasti calon-calon yang tinggal di kawasan berisiko banjir dan mempunyai maklumat lengkap mengenai mereka.

“Calon yang terlibat ini boleh ditempatkan sementara di asrama sekolah, menumpang di rumah rakan berdekatan atau di sekolah itu sendiri dengan makluman Jabatan Kebajikan Masyarakat (untuk penyelarasan data maklumat).

“PPD juga sudah mengenal pasti pusat peperiksaan sementara untuk calon yang terkandas menumpang agar mereka boleh menduduki kertas peperiksaan di pusat yang berdekatan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Seramai 1,303 petugas telah dilantik di 168 pusat peperiksaan SPM manakala untuk STPM, seramai 393 petugas dilantik untuk menjaga 44 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu.

SPM akan bermula esok hingga 13 Disember manakala STPM bermula esok hingga 5 Disember ini.

Selain itu, Shafruddin berkata kerja pemindahan perabot, dokumen penting, peralatan elektrik dan komputer perlu dilakukan secepat mungkin terutama di kawasan sekolah yang sering ditenggelami air.

“Paling penting semua guru diingatkan agar mengutamakan keselamatan murid dan pelajar serta mempunyai nombor agensi penyelamat berdekatan bagi memastikan bantuan diterima dengan cepat apabila bencana berlaku,” katanya.

Sebelum ini, terdapat calon SPM yang terpaksa menaiki lori agensi penyelamat untuk ke sekolah bagi menduduki peperiksaan itu setelah laluan ke sekolah dinaiki air. – BERNAMA

Loading...