Tengku Razaleigh Selesai Menghadap Agong

KUALA LUMPUR – Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dilihat keluar dari Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini.

Dianggarkan kira-kira 20 pengamal media yang menunggu ketibaan beliau yang mesra dengan panggilan Ku Li di pintu 2, Istana Negara, di sini dikejutkan dengan kemunculan kereta Mercedes berwarna hitam dinaikinya yang dilihat keluar dari bangunan itu pada 2.40 petang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gua Musang dipercayai masuk ke Istana Negara menggunakan pintu lain sekali gus menyebabkan kehadirannya gagal ‘dihidu’ pengamal media yang berada di lokasi.

Selain itu, beberapa anggota polis bertugas turut dilihat melakukan kawalan keselamatan di lokasi dan mengarahkan semua pengamal media bersurai sejurus selepas kereta Mercedes berkenaan beredar dari lokasi.

Kehadiran Ku Li ke Istana Negara dipercayai bagi menyuarakan sokongan atau menolak ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-sembilan.

Hari ini, terdapat beberapa portal berita melaporkan Ku Li dijangka menghadap Seri Paduka dengan ditemani beberapa Ahli Parlimen Umno pada 2 petang.

Terdahulu, Anwar yang juga Presiden PKR tiba di Istana Negara pada 10.25 pagi sebelum dilihat beredar pada 11.30 pagi.

Anwar menghadap Seri Paduka kira-kira sejam dipercayai bagi mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana ketika sidang medianya pada 23 September lalu. – myMetro Online

Loading...