Tengku Maimun Dilantik Ketua Hakim Negara

PUTRAJAYA – Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat dilantik sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan Tengku Maimun adalah bagi menggantikan Tan Sri Richard Malanjum selain turut menyaksikan beliau sebagai wanita pertama di Malaysia memegang jawatan itu.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, pelantikan Tengku Maimun mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan nasihat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja telah memperkenankan pelantikan Tengku Maimun,” katanya di sini, hari ini.

Kenyataan itu berkata, majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan dan sumpah setia di hadapan Seri Paduka Baginda akan dimaklumkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia.

“Ia setelah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda,” katanya.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri berkata, tempoh perkhidmatan Richard Malanjum sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan berakhir pada 12 April lalu setelah mencapai umur 66 tahun dan enam bulan.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Richard Malanjum di atas segala khidmat bakti beliau sepanjang memegang jawatan Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Richard Malanjum yang akan mencapai usia 67 tahun pada 13 Oktober ini menjawat jawatan berkenaan selama sembilan bulan.

Tempoh perkhidmatan beliau sebelum ini dilanjutkan selama enam bulan seperti yang dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan. – K! ONLINE

Loading...