Tender Bot FIC: Mat Sabu, MinDef Sedia Disiasat SPRM

PASIR MAS – Kementerian Pertahanan sedia memberikan kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya wujud penyelewengan berhubung tender bot Fast Interceptor Crafts (FIC) untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menterinya, Mohamad Sabu berkata, setakat ini beliau masih belum menerima sebarang maklumat atau laporan berhubung kes tersebut.

“Saya sentiasa terbuka dalam perkara ini dan mana-mana pihak yang ingin menjalankan siasatan boleh berbuat demikian.

“Kita akan memberikan kerjasama penuh dan perkara itu selaras dengan dasar yang diamalkan oleh kerajaan PH (Pakatan Harapan) ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas diminta mengulas kenyataan SPRM yang akan menyemak jika terdapat laporan wujudnya penyelewengan berhubung tender bot FIC untuk TLDM.

Mohamad (tiga dari kanan) bersama isteri, Normah Alwi (kanan) beramah mesra dengan mangsa-mangsa banjir di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati.

Akhbar tempatan hari ini melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya menegaskan perkara itu akan didedahkan kepada umum setelah pihaknya mendapat kepastian tentang hal tersebut.

Terdahulu, Mohamad meluangkan masa dan beramah mesra dengan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati di sini hari ini.

Turut hadir, Panglima Dua Divisyen Mejar Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.

Mohamad berkata, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memberikan kerjasama kepada pasukan penyelamat dalam melancarkan lagi operasi memindahkan mangsa banjir sekiranya gelombang kedua berlaku selepas ini.

Katanya, beliau amat berpuas hati dengan laporan yang telah dibentangkan oleh ATM merangkumi pergerakan tugas dan persiapan banjir pada masa akan datang.

Loading...