“Tendang Sebab Rasa Terancam” – Balkisyh Semundur

KUALA LUMPUR – Pelakon, Balkisyh Semundur Khan mendakwa bertindak menendang bekas suami, Mohd Aizad Rosli untuk mempertahankan diri dan anak…

KUALA LUMPUR – Pelakon, Balkisyh Semundur Khan mendakwa bertindak menendang bekas suami, Mohd Aizad Rosli untuk mempertahankan diri dan anak selepas berasakan mereka terancam.

Balkisyh yang popular menerusi drama, Mak Cun turut mendakwa, bekas suaminya datang bersama rakan sambil merakamkan video, selain mengganggu waktu persekolahan anaknya hingga menimbulkan ketakutan.

“Apa yang anda rasa apabila melihat anak berlari dan menjerit-jerit ketakutan, serta diganggu ketika waktu sekolah?

“Sebelum ini, Mahkamah Syariah benarkan dia mengambil anak ketika hari cuti, bermula Sabtu selepas jam 12 tengah hari dan dipulangkan Ahad sebelum jam 6 petang,” katanya kepada BH Online.

Ibu tunggal dua cahaya mata itu berkata demikian bagi menjelaskan isu rakaman video pergaduhannya dengan Aizad yang tular di laman sosial, beberapa hari lalu.

Menerusi rakaman itu, Aizad dilihat menunjukkan kertas dipercayai surat perintah mahkamah untuk mengambil dua anaknya, tetapi dihalang Balkisyh.

Ia mencetuskan kekalutan hingga Balkisyh bertindak kasar dengan menendang lelaki itu. Rakaman video itu dimuat naik Aizad menerusi akaun Facebook (FB) miliknya, selain paparan skrin perbualan mereka.

Mengulas mengenainya, Balkisyh berkata, dia kesal dengan tindakan bekas suaminya memandangkan mereka sudah diperintahkan untuk tidak membuat sebarang kenyataan provokasi, ugutan atau rakaman video untuk dihebahkan di media sosial bagi tujuan mengaibkan.

“Kalau diperhatikan di FB bekas suami, banyak perkara dilakukannya untuk mengaibkan saya. Mungkin dia mahu meraih simpati dan berpuas hati apabila orang menyalahkan saya,” katanya.

Sebelum ini, BH Online melaporkan, Aizad meminta agar Balkisyh tidak memisahkan dirinya dengan anak-anak.

Mendakwa hampir setahun tidak dapat bersama dengan dua anak mereka, Aizad mempersoal mengapa dirinya tidak dibenarkan berjumpa Nur Qalesya, 9, dan Muhamad Nor Qaisyh Khan, 4, sedangkan Mahkamah Syariah sudah memberi kebenaran kepadanya berbuat demikian.

“Saya tak faham kenapa Balkisyh tidak benarkan saya tengok anak-anak sedangkan mahkamah sudah benarkan.

“Saya rindukan momen bermain dengan mereka, pergi menonton filem dan makan aiskrim bersama.

“Jika tak mahu saya bawa pulang ke rumah, dapat berjumpa sekejap dan peluk mereka pun saya bersyukur,” katanya.

Aizad dan Balqisyh bercerai pada September tahun lalu. – BH ONLINE

Loading...