Tempat Pelancongan Basikal ‘Gula-Gula’ PRK Semenyih

KUALA LUMPUR – Cadangan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk menjadikan Semenyih sebagai tempat pelancongan basikal hanyalah ‘gula-gula’ Pilihan Raya Kecil (PRK) dan ia tidak akan dilaksanakan.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, sebenarnya banyak tempat di Malaysia yang sudah melangkaui status dan lebih layak dijadikan tempat sebagai tempat pelancongan basikal.

“Saya lihat idea ini beliau lontarkan selepas berbasikal sejauh 25 kilometer (km) di Semenyih tempoh hari. Adakah dengan satu program dan jarak 25km itu sahaja, beliau terus buat cadangan mewujudkan tempat bicycle tourism di Semenyih?

“Di Eropah sendiri seperti di Belanda, jalan rayanya diwujudkan laluan berbasikal bagi satu negara. Jangan kerana hendak PRK sahaja idea ini timbul. Kalau mahu, biar dilaksana seluruh negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Syed Saddiq mencadangkan Semenyih dijadikan tempat pelancongan basikal kerana kawasan itu mempunyai trek berbasikal yang baik dan kemudahan lain.

Tambah beliau lagi, pihaknya akan berbincang dengan kementerian berkaitan termasuk pihak berkepentingan serta mereka yang terlibat dalam sukan berbasikal untuk menaik taraf kerja kemudahan rekreasi di kawasan itu. – K! ONLINE

Loading...