Teliti Dalam Hasilkan Berita Terutamanya Berita Politik

KUCHING – Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg berkata wartawan harus lebih teliti dalam menghasilkan berita kepada masyarakat terutamanya dalam isu politik kerana jika disalah taksir, ia boleh mempengaruhi masyarakat dan memburukkan lagi keadaan semasa.

“Disebabkan kecanggihan teknologi kini telah menyebabkan persepsi masyarakat dapat berubah dengan cepatnya kerana pengaruh media sosial yang begitu hebat sekali,” katanya ​​​​​​​ketika berucap pada majlis perasmian Zamalah Wartawan Malaysia 2018 di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Dr Chamil Wariya berkata selain memupuk sikap setia kawan, program Zamalah Wartawan Malaysia 2018 juga bertujuan menerapkan etika peserta semasa membuat liputan berita.

“Program ini memfokuskan penambahan ilmu pengetahuan dalam bidang kewartawanan bagi yang baru menceburi bidang ini mahupun yang veteran.

“Peserta akan menjalani latihan praktikal dalam menghasilkan rencana dan video pendek semasa lawatan ke Batang Ai dan Santubong serta berpeluang mengikuti sesi perbahasan di Dewan Undangan Negeri Sarawak bagi para perserta yang datang dari negeri-negeri lain untuk mengetahui perkembangan isu-isu semasa di negeri ini,” katanya.

Zamalah Wartawan Malaysia 2018 anjuran MPI yang berlangsung di sini selama dua minggu bermula hari ini hingga 14 Dis, dianjurkan buat kali kedua ​​​​​​​di Sarawak melibatkan 27 peserta terdiri daripada wartawan dan jurugambar dari Sarawak, Sabah serta Semenanjung Malaysia.

— BERNAMA

Loading...