Teladani Kisah Kabilah Aus Dan Khazraj

KUALA LUMPUR – Umat Islam perlu meneladani kisah kabilah Aus dan Khazraj yang diuji dengan fitnah sebaik sahaja menamatkan perbalahan yang tercetus sejak sekian lama.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kabilah Aus dan Khazraj yang sebelum itu merupakan musuh tradisi di Kota Yathrib berjaya disatukan oleh Nabi Muhammad SAW melalui Islam.

“Bagaimanapun, perdamaian kedua-dua kabilah itu menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan Yahudi Madinah. Mereka bimbang penyatuan tersebut bukan sahaja dalam konteks akidah dan iman tetapi dikhuatiri akan membina kekuatan umat, ekonomi, politik dan ketenteraan umat Islam.

“Lalu Yahudi Madinah mengambil inisiatif untuk mengapi-apikan permusuhan lama antara kabilah Aus dan Khazraj sehingga perdamaian yang dikecapi itu tercemar dengan perkelahian,” katanya ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Surau Ar-Rahman, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Hadir sama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan; bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Solat Jumaat dipimpin oleh imam Surau Ar-Rahman, Mohd. Shukri Ali manakala solat hajat sempena Himpunan Penyatuan Ummah pula dipimpin Jamil Khir.

Tuan Ibrahim menambah, selepas mendapat berita mengenai perkelahian antara kabilah Aus dan Khazraj itu, Nabi Muhammad SAW bergegas untuk meleraikannya.

Katanya, selepas dinasihati Rasulullah SAW, kedua-dua kabilah tersebut tersedar dan menangis dengan penuh keinsafan kerana terpengaruh dengan bisikan syaitan.

“Oleh itu kita sebagai umat Islam perlu mengambil pengajaran daripada peristiwa ini agar tidak terpengaruh dengan bisikan syaitan yang cuba memecahbelahkan perpaduan antara kita.

“Kita juga jangan sama sekali membawa bisikan syaitan ke dalam kumpulan yang telah disatukan. Membina perpaduan bukan perkara mudah tetapi meruntuhkannya adalah amat mudah, jadi kita perlu berhati-hati,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...