Teknologi Kenal Pasti Individu Menerusi Cara Berjalan

ANDA boleh mengetahui banyak perkara mengenai seseorang melalui cara mereka berjalan, tetapi China telah membangunkan teknologi yang membolehkan ia mengenal pasti individu menerusi cara berjalan.

Ia dapat mengesan individu tersebut meskipun wajah mereka tidak kelihatan atau membelakangi kamera.

Dikenali sebagai ‘pengecaman cara berjalan’, teknologi itu direka oleh sebuah syarikat, Watrix yang menganalisis ribuan metrik mengenai cara seseorang berjalan, dari bentuk badan mereka dan sudut pergerakan lengan hingga postur badan.

Semua ciri-ciri ini dimasukkan ke dalam pangkalan data di mana perisian itu akan melakukan semakan semasa cubaan untuk mengenal pasti seseorang.

Menurut kenyataan rasmi Watrix, kadar ketetapan teknologi di makmal melebihi 96 peratus.

Teknologi pengecaman wajah telah lama dibangunkan, tetapi masih mempunyai kelemahan pada asasnya, di mana memerlukan wajah untuk dilihat bagi mengenal pasti seseorang.

Oleh itu, jika wajah seseorang tertutup daripada pandangan atau mereka membelakangi kamera, ia tidak dapat dilakukan.

Menerusi pengecaman cara berjalan, ia berfungsi dari pelbagai sudut kerana menganalisis begitu banyak metrik, yang boleh mengenal pasti subjek meskipun mereka cuba untuk menutup kaki.

“Menutupi kaki anda boleh mengurangkan markah pengecaman tetapi kita menganalisis semua badan seseorang itu,” kata pengasas bersama dan ketua eksekutif Watrix, Huang Yongzhen dalam satu kenyataan.

“Dengan pengecaman wajah, seseorang itu perlu melihat ke arah kamera. Kerjasama tidak diperlukan untuk pengecaman (menggunakan teknologi kami),” katanya.

Watrix mendedahkan versi pertama teknologi pengecaman cara berjalan pada Oktober tahun lalu. – odditycentral