Tazkirah Bergilir Selepas Subuh Waktu PKP

MASA terluang sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimanfaatkan Syeikh Yusoff Ahmad bersama keluarga dengan aktiviti kerohanian menerusi tugasan diberi kepada tujuh daripada lapan anaknya untuk menyampaikan tazkirah setiap kali selesai menunaikan solat subuh berjemaah.

Syeikh Yusoff, 53, yang menetap di Bandar Alor Setar, Kedah berkata , aktiviti itu menjadi rutin harian sejak bermula PKP lagi dengan setiap seorang anaknya perlu menyampaikan tazkirah secara bergilir-gilir setiap hari.

Menurut Syeikh Yusoff, dia sendiri akan menentukan tajuk yang akan disampaikan dan dilakukan bagi meningkatkan kemahiran pengucapan dalam kalangan anaknya.

MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK

“Sebelum PKP, masa saya sangat terhad bersama keluarga kerana hampir setiap malam saya akan keluar menyampaikan kuliah di masjid atau surau.

“Kerapkali apabila saya pulang ke rumah, anak-anak sudah tidur dan peringkat awalnya dalam minggu pertama PKP, saya sendiri yang menyampaikan tazkirah setiap kali selepas Subuh.

“Ia membuatkan saya terfikir mengapa tidak gunakan masa senggang ini untuk melatih anak-anak dan dari situlah, saya mula berikan tugasan dan tentukan tajuk yang akan disampaikan. Ada kalanya, sesuatu topik perlu dikupas lebih daripada seorang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Syeikh, anak lelakinya turut diberi peluang menjadi imam dan bilal secara bergilir-gilir sepanjang PKP.

Katanya, aktiviti dilakukan itu secara tidak langsung menjadi platfom untuknya sekeluarga berhimpun dan menghayati hikmah tersembunyi di sebalik PKP.

“Di sebalik ujian yang Allah beri, terdapat nikmat dan Dia mahu kita merenung serta melihat apa yang berlaku hari ini dalam dua sisi.

“Dalam situasi sekarang, mungkin ada ayah atau ketua keluarga yang terpaksa korbankan simpanan hari tua atau wang untuk ke Tanah Suci kerana terkesan akibat wabak yang melanda.

”Dari satu sudut lagi, ibu bapa dapat meluangkan lebih masa dengan anak di rumah dengan melakukan pelbagai aktiviti bersama cuma berapa ramai di antara kita sedar akan nikmat itu?” katanya yang bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Hal Ehwal Islam Kedah.

Syeikh Yusoff berharap perkongsiannya di Facebook baru-baru ini dapat memberi mesej positif kepada ibu bapa di luar.

“Sejak PKP bermula, saya kembali aktif di Facebook dan banyak berkongsi mengenai aspek pendidikan dan kekeluargaan dengan rakan menerusi FB Live .

“Alhamdulillah, maklum balas diterima positif dan diharap, ibu bapa termasuk saya dan isteri, Nawal Nawawi, 52 mengambil peluang sewaktu PKP untuk menjadi guru sejati di rumah serta mendidik anak dengan penuh kasih sayang,” katanya. – myMetro Online