Tawaran Maju Ambil Alih PLUS Belum Dibincangkan Kabinet

PULAU PINANG – Tawaran Maju Holdings Sdn. Bhd. (Maju Holdings) untuk mengambil alih PLUS Malaysia Sdn. Bhd. (PLUS) masih belum dibincangkan di peringkat Kabinet.

Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, setakat ini pihak kementerian masih lagi meneliti tawaran yang dikemukakan sebelum membawa perkara itu ke perhatian Kabinet.

“Kita sudah menerima kertas tawaran daripada Maju Holding dan akan teliti semuanya dahulu.

“Setakat ini tidak ada syarikat secara rasmi mengajukan tawaran selain Maju Holdings dan perkara ini masih belum dibincangkan di peringkat Kabinet,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Konsesi Lebuhraya 2019 di sini hari ini.

Sebelum ini, portal berita The Edge melaporkan, Maju Holdings mengemukakan tawaran baharu untuk mengambil alih PLUS.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan menolak tawaran itu selepas mengambil kira pandangan pemegang saham utama syarikat konsesi tol tersebut.

Guan Eng berkata, pemegang saham utama PLUS, Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak bersetuju dengan tawaran pengambilalihan itu.

Menurut Bian, tidak ada jangka masa ditetapkan oleh pihak kementerian untuk menjalankan perbincangan mengenai tawaran yang dikemukakan oleh Maju Holdings Sdn. Bhd. itu.

“Kita tumpukan pada masa ini untuk menjalankan kajian yang holistik bagi menentukan hala tuju tol di negara ini,” katanya.

Loading...