Tarif Air Naik Tahun Hadapan – Menteri

SHAH ALAM – Semua negeri secara dasarnya bersetuju menaikkan tarif air tahun hadapan manakala kadarnya akan dimuktamadkan selepas perbincangan selesai diadakan.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Datuk Dr. Xavier Jayakumar, berkata pihaknya kini memperhalusi beberapa perkara berkaitan.

“Saya boleh katakan semua (negeri) setuju. Kita akan bentangkan kewajaran tarif air dinaikkan kepada semua negeri dan kadar utiliti ini tidak pernah disemak dalam tempoh 20 tahun.

“Pada masa sama, kerajaan memberi jaminan kenaikan tarif air ini munasabah, tidak membebankan pengguna dan kadar peningkatan tidak melebihi dua peratus daripada pendapatan isi rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Lawatan Bangunan Asrama Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil Ladang Midlands di sini, hari ini.

Xavier berkata, kerajaan turut bersetuju meminda Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WASIA) bagi memperkemaskan beberapa peraturan, antaranya membolehkan pembabitan syarikat swasta untuk membangunkan industri air di negara ini.

“Cadangan pindaan Akta WASIA adalah atas persetujuan Kabinet dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Ketika ini, kerajaan turut menanggung kos perkhidmatan air yang membabitkan perbelanjaan besar.

“Industri air memerlukan dana yang besar bagi memastikan kelancaran perkhidmatan dan kita harap semua pihak memahami perkara ini,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan memberi jaminan Mekanisme Penetapan Tarif (TSM) air yang dijangka dilaksanakan tahun depan, tidak membebankan isi rumah berpendapatan rendah.

Pelaksanaan TSM mencadangkan pelarasan tarif minimum membabitkan kenaikan antara 0.06 sen hingga 0.71 sen bagi setiap 1,000 liter, lebih rendah berbanding bayaran utiliti lain seperti elektrik, gas dan telekomunikasi.

Purata kadar tarif air ketika ini adalah RM1.38 bagi setiap 1,000 liter berbanding kos sebenar RM2.31 bagi setiap 1,000 liter. – BH Online

Loading...