Tarawih: Peniaga, Netizen Tidak Setuju Henti Operasi

KOTA BHARU – Arahan menghentikan operasi premis makanan dari pukul 8.30 malam hingga 10 malam sepanjang bulan Ramadan bagi memberi laluan kepada solat tarawih mengundang pelbagai reaksi daripada peniaga dan netizen.

Sejak arahan tersebut dikeluarkan oleh kerajaan negeri semalam, pelbagai komen negatif dan positif yang diterima daripada netizen berkaitan larangan yang berkuat kuasa serta-merta itu.

Memetik komen pengguna Facebook, Azmi Musa, “Rakyat nak cari makan. Solat tarawih hanya solat sunat. Boleh dilakukan dirumah.”

Berlainan pula dengan pendapat Mohd. Nizam, “Alhamdulillah. Teruskan mendidik masyarakat untuk tunduk pada ajaran agama. Tahniah Kerajaan Kelantan memartabatkan agama Islam.”

Semalam, notis yang ditandatangani oleh Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Adnan Hussin itu mengarahkan supaya semua pihak berkuasa tempatan (PBT) menguatkuasakan peraturan tersebut.

Melalui notis tersebut, dimaklumkan semua pengusaha kedai makan dan restoran diarah menutup atau menghentikan sementara operasi dari pukul 8.30 malam hingga 10 malam sepanjang bulan Ramadan.

“Arahan ini untuk menghormati bulan Ramadan dan menggalakkan umat Islam menunaikan solat sunat tarawih secara berjemaah di masjid atau surau.

“Sehubungan itu, semua ketua pengurusan PBT di Kelantan diminta mengeluarkan arahan kepada pengusaha kedai makan dan restoran di kawasan masing-masing,” katanya. – K! ONLINE

Loading...