Tanpa ‘Cue Card’, Fauziah Puji Janna Mengacara

KETIKA netizen mengkritik cara Janna Nick mengacara di majlis Anugerah Bintang Popular 2018 (ABPBH), primadona Fauziah Nawi pula memberi pujian kepada aktres tersebut.

Menurut Fauziah, 64, Janna mengendalikan program itu dengan penuh keyakinan dan seperti sudah membuat persediaan rapi sebelum acara berlangsung.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Janna, salah seorang daripada tiga hos ABPBH.

“Janna tidak memegang cue card (kad petunjuk) dan tuturnya begitu yakin, saya percaya Janna telah menghafal turutan program.

Fauziah berkongsi mengenai cara pengacaraan Janna di Instagram.

“Tahniah dan teruskan usaha itu,” katanya.

Pelakon senior itu berkongsi pandangan tersebut menerusi laman Instagramnya pada Isnin.

Luahan Fauziah itu turut menarik perhatian pengacara program Melodi berkenaan yang turut berjanji untuk melakukan lebih baik selepas ini.

“Ya Allah ibu (nama panggilan Fauziah), terima kasih ya amat. Saya akan perbaiki lagi,” komennya.

Sementara itu, Fauziah berkata usaha yang ditunjukkan oleh pelakon utama Leftenan Zana itu berbaloi dan ruang untuk dia memperbaiki diri sentiasa ada.

“Sentiasa ada ruang untuk perbaiki diri, berbaloi hafal teks dan fokus pada tugasan itu. Semoga maju jaya Janna,” ujarnya.

Dalam majlis yang berlangsung pada Ahad itu, Janna merupakan pengacara bersama Ajak Shiro dan Zara Zya. – mStar Online