“Tangan Ini Juga Yang Akan Lakukan Perubahan”

ARAU – Tanggal 9 Mei 2018, Mohd. Hafizi Che Yusof, 33, adalah antara pengundi yang membentuk gelombang bersama golongan muda lain melakukan perubahan untuk menjatuhkan kerajaan 60 tahun Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagi kakitangan swasta itu, perubahan tersebut sememangnya dinantikan, bukan sahaja untuk melihat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak jatuh, malah untuk menikmati kehidupan lebih baik di bawah Malaysia baharu pimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, selepas setahun pemerintahan, ternyata harapannya dan juga kebanyakan anak muda yang lain terhadap kerajaan baharu ini mula meleset selepas PH ternyata gagal membawa perubahan seperti diharapkan.

Lebih mengecewakan apabila pelbagai janji di dalam manifesto mereka seperti menurunkan kos sara hidup, pembayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan peningkatan gaji minimum yang dikatakan sebanyak RM1,500 gagal ditunaikan.

Bagi mereka, ‘kejayaan’ PH yang dilihat setakat ini hanyalah dengan menukar nama hasil idea-idea kerajaan dahulu seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada Bantuan Sara Hidup (BSH); Klinik 1Malaysia kepada Klinik Komuniti; Permata Negara (Permata) kepada Genius dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) kepada Pusat Komuniti Desa (PKD).

Seorang juruteknik, Tarmizi Mat Arus, 33, berkata, malah janji untuk menambah peluang pekerjaan untuk golongan muda juga gagal ditunaikan setakat.

Katanya, paling membimbangkan adalah prestasi kerajaan PH dalam menjaga kepentingan Islam dan Melayu.

“Maka dengan itu, tangan ini yang lakukan perubahan, tangan ini juga yang akan melakukan perkara sama dalam PRU-15 jika PH masih tidak berubah khususnya dalam menunaikan janji manifesto,” katanya.

Dalam masa sama, Tarmizi turut mempersoalkan tindakan kerajaan memotong bantuan seperti BR1M khususnya untuk golongan bujang yang rata-ratanya telah membantu kemenangan PH.

“Selain itu, PH juga perlu segera menunaikan janji. Antara faktor paling ramai orang marah adalah disebabkan kegagalan menunaikan janji. Bagaimanapun, masih ada tempoh empat tahun untuk PH membuktikan kemampuan,” katanya yang mengundi di Parlimen Kangar dalam PRU-14.

Dalam pada itu, Mohd. Romzi Rejab, 42, pula berharap kerajaan PH segera mendengar keluh-kesah rakyat khususnya yang tinggal di kampung, kerana golongan itu antara yang paling terkesan dengan keadaan semasa hari ini.

“Dahulu, golongan ini banyak menikmati manfaat seperti bantuan dan sebagainya. Sekarang, mereka rasa semakin terpinggir,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Loading...