Tandatangan Di Cek Bayar Kad Kredit Bukan Tulisan Zahid

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa tandatangan di enam cek untuk membayar kad kredit dan kad caj Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dicap dan bukan dengan tulisan tangan.

Perkara berkenaan dibangkitkan peguam Ahmad Zahid, Hisyam Teh Poh Teik semasa pemeriksaan balas terhadap Naib Presiden yang bertanggungjawab dalam pengurusan penipuan dan pertikaian kad kredit Malayan Banking Berhad (Maybank) Anoop Singh Gulzara Singh, 46.

Merujuk kepada laporan yang ditandatangani oleh ahli kimia, Siti Nur Musliha Mohamad Noor dari Jabatan Kimia, Anoop Singh berkata, laporan itu menyatakan bahawa tandatangan pada enam cek berkenaan adalah dicap.

Menurut laporan itu, disebabkan oleh tandatangan yang dipersoalkan menggunakan cap dan bukan tandatangan tulisan tangan, Siti Nur Musliha tidak dapat memberi pendapat tentang penandatangan cek itu.

Anoop Singh, saksi pendakwaan kesembilan memberi keterangan berkenaan pada hari kesembilan perbicaraan Ahmad Zahid, 66, yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan jutaan ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Semasa dicadangkan Hisyam bahawa Ahmad Zahid tidak mengecap keenam-enam cek tersebut sebagai pemegang kad, saksi itu berkata beliau tidak tahu.

Hisyam: Saya cadangkan kepada kamu bahawa semasa enam cek tersebut dicap, Ahmad Zahid tidak mengetahui ia dicap oleh pembantu peribadinya Major Mazlina (Mazlan).

Anoop Singh: Saya tidak tahu.

Ahmad Zahid, bekas Timbalan Perdana Menteri menghadapi 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Loading...