Thursday, March 28, 2024

Creating liberating content

Wanita Didakwa Bunuh Ibu...

KUALA LUMPUR - Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, di sini, hari...

Selepas Lawat Israel, Netanyahu...

GAZA : Seorang pegawai kanan Hamas, menjemput bilionair Amerika Syarikat (AS), Elon Musk...

Pemukiman Dekatkan Pemimpin Dengan...

PADANG RENGAS - Program pemukiman Menteri Besar Perak merupakan pendekatan yang sangat berkesan...

SSM Serah Kutipan Zakat...

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyerahkan zakat perniagaan sebanyak RM1 juta...

Tanah Kampung Baru Akan Dijual Kepada Agensi Kerajaan

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan tanah di Kampung Baru, Kuala Lumpur akan dijual kepada agensi kerajaan untuk dibangunkan, bukan pihak lain.

Beliau berkata, agensi kerajaan itu pula akan membantu para pemilik tanah berkenaan membangunkan Kampung Baru tanpa mengabaikan ciri-ciri asal lokasi berkenaan.

“Tanah Kampung Baru dulu berstatus tanah rizab pertanian Melayu. Waktu ini, mereka (pemilik tanah Kampung Baru) tidak boleh melakukan pertanian di situ, namun mereka hanya boleh berniaga di situ, tetapi mereka tiada wang yang cukup untuk bangunkan Kampung Baru.

“Kita lihat di situ terdapat rumah-rumah lama berbumbung zink karat. (Jadi) Ia nampak semacam ‘kudis’ di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur yang membangun pesat dengan bangunan pencakar langit.

“Ini tidak mencerminkan kedudukan orang Melayu yang (sebenarnya) berjaya seperti orang lain,” katanya dalam sidang media selepas menyampaikan amanat pada Kongres Maruah Melayu di sini hari ini.

Selasa lepas, Menteri Wilayah Persekutan, Khalid Abdul Samad dilaporkan berkata, Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) telah menerima kira-kira 700 hingga 800 borang daripada penduduk di situ berhubung pembangunan semula kawasan berkenaan.

Khalid berkata, daripada jumlah borang itu, kira-kira 90 peratus pemilik tanah bersetuju dengan tawaran RM850 bagi setiap satu kaki persegi oleh kerajaan.


Mengulas mengenai penganjuran kongres tersebut yang disifatkan sesetengah pihak bermotif politik dan berbaur perkauman, Dr. Mahathir berkata, ia tidak harus dilihat seperti itu walaupun dihadiri pemimpin parti politik kerana ia turut melibatkan pelbagai pihak lain termasuk badan bukan kerajaan dan warga institusi pengajian tinggi.

“Mereka datang atas kapasiti orang Melayu, mereka mahu tahu apa jadi kepada maruah orang Melayu dan bagaimana nak pulihkan kembali maruah orang Melayu.

“Mereka (pemimpin parti politik Melayu) yang hadir ketepikan fahaman politik kerana mereka rasa bertanggungjawab terhadap pemulihan maruah orang Melayu. Kita cakap tentang orang Melayu, kedudukan mereka dalam konteks sosial, ekonomi, politik dan sebagainya. (Kita perlu lihat) Di mana mereka buat kesilapan yang membuatkan mereka ketinggalan di negara sendiri,” katanya.

Ditanya pula sama ada lima resolusi melibatkan bidang ekonomi, budaya, politik, agama dan pendidikan orang Melayu yang dikemukakan dalam kongres itu akan dipertimbangkan kerajaan untuk diteliti, Dr. Mahathir berkata ia akan dilihat semula kerana ia mencerminkan ‘perasaan’ orang Melayu.

“Ia sangat jelas yang orang Melayu amat risau dengan masa depan mereka. Kerajaan akan lihat perkara ini namun orang Melayu harus memainkan peranan mereka dalam mengembalikan maruah kaum ini,” katanya.

Kategori