Tan Sri, Puan Sri Dituduh Ekploitasi 3 Amah

KLANG – Seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga pembantu rumah wanita warga Indonesia antara Oktober 2012 hingga Mac lalu.

Tertuduh, Tan Sri M.K. Ketheeeswaran atau lebih dikenali dengan Kenneth Eswaran, 58, dan Puan Sri Vivienne Ketheeswaran, 63, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roszianayati Ahmad.

Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, pasangan suami isteri itu didakwa memperdagangkan tiga wanita warga Indonesia berusia 25, 29 dan 41 tahun bagi maksud ekploitasi kerja paksa.

Semua perbuatan tersebut dilakukan di sebuah rumah di Jalan Cinta Alam Country Height, Kajang antara Oktober 2012 hingga Mac lalu.

Justeru, bekas Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) serta isterinya didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fatnin Yusof dan kedua-dua tertuduh diwakili oleh Shashi Devan dan Datuk C. Vijayakumar.

Terdahulu, Fatnin memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM50,000 setiap tertuduh dan pasport kedua-dua mereka diserahkan ke mahkamah.

Roszianayati kemudiannya membenarkan cadangan Fatnin tersebut. Pasangan suami isteri itu membayar wang jaminan itu.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan 3 Mei depan. – K! ONLINE

Loading...