Tambang E-hailing Naik: Penumpang Mungkin Berkurangan

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook tidak menolak kemungkinan penumpang yang menggunakan perkhidmatan e-hailing akan berkurangan sekiranya berlaku kenaikan harga disebabkan peperiksaan Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) yang perlu diambil pemandunya.

Anthony berkata, Kementerian Pengangkutan tidak menetapkan sebarang harga kawalan bagi perkhidmatan itu sebaliknya ia terpulang kepada pasaran semasa.

“Harga kekal itu terpulang pada syarikat-syarikat operator e-hailing, harga e-hailing ini tidak ada satu harga lantai dan siling, terpulang pada pasaran.

“Tapi yang saya tahu kalau syarikat-syarikat e-hailing meningkatkan harga tambang maka penumpang akan berkurangan, terpulang pada syarikat operator,” katanya, ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

Ahli Parlimen Seremban itu berkata, pihaknya juga dimaklumkan terdapat syarikat operator e-hailing dari luar negara sedang mengintai peluang untuk memasuki pasaran negara, sekali gus menjadikan harga tambang lebih kompetetif.

“Sebab akan ada banyak persaingan malah akan ada syarikat lain sedang bangunkan perkhidmatan mereka di Malaysia.

“Jadi akan ada banyak persaingan dan harga akan lebih kompetetif,” ujarnya. – Sinar Harian

Loading...