Taman Tasik Titiwangsa Ditutup Sepenuhnya

KUALA LUMPUR – Kawasan riadah yang terkenal di ibu negara, Taman Tasik Titiwangsa, di sini ditutup sepenuhnya kepada kunjungan awam, berkuat kuasa hari ini.

Jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelaskan langkah penutupan segera itu diambil apabila pemantauan sebelum ini mendapati wujud pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pengunjung.

Sehubungan itu, katanya, percaturan sedemikian diambil bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 menerusi kehadiran pengunjung yang ramai di taman berkenaan, sejak ia kembali dibuka untuk aktiviti senaman selari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei lalu.

MATI PUCUK? DAPAT RAWATAN SEGERA… KLIK

“Terlalu ramai orang yang hadir ke taman berkenaan, malah kawasannya yang begitu luas dan terbuka menyukarkan aspek kawalan dan pengurusan awam.

“Kita juga dapati ada yang ‘bersidai’ di taman, selepas tiba di kawasan berkenaan menaiki hampir empat hingga lima kereta.

“Oleh itu, kita ambil keputusan untuk tutup taman ini sehingga ke satu tarikh yang akan diputuskan kemudian, selain mengikut saranan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jurucakap DBKL mengakui aspek kawalan pengunjung ke taman itu sejak ia mula dibuka semula, selari pelaksanaan PKPB sebelum ini adalah tidak tegas.

Susulan itu, katanya, pengurusan keluar masuk pengunjung ke taman berkenaan, selain keperluan melakukan saringan kesihatan tidak berupaya dilakukan.

“Disebabkan perkara ini dan bagi mengelak situasi bertukar buruk, kita tutup dahulu taman rekreasi dan riadah di Kuala Lumpur ini daripada kunjungan awam.

“Bagaimanapun, aktiviti senaman dan larian masih dibenarkan di luar atau sekeliling taman,” katanya. – BH Online

Loading...