Takut Jawab Soalan BN, PH Ponteng Dewan?

LENGANG… Ketika rakyat marhaen harap kerajaan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH) lebih baik daripada Barisan Nasional (BN) sebelum ini, keadaan sebenar menjadi yang sebaliknya pula!

Terbaharu, netizen seluruh dunia gempar setelah suasana hari pertama Dewan Rakyat yang kecoh pada sebelah pagi bertukar lengang apabila sebahagian besar ahli parlimen komponen PH ‘ponteng’ persidangan sesi petang semalam.

Media pro-PH namun beri dalih dengan lapor konon wakil rakyat terbabit perlu hadiri mesyuarat Kabinet di pejabat Perdana Menteri, Putrajaya yang lazim diadakan pada setiap Rabu sebelum pasca-Kabinet peringkat kementerian.

Walhal bagi yang ikuti sesi pagi tentu maklum bagaimana lawak menteri-menteri pentabiran PH gagal jawab soalan ‘maut’ bersifat cepumas ditanya wakil BN malah ada teragak-agak beri jawapan samar-samar macam terkejut besar!

Lebih lucu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali pula seolah-olah jadi watak ahli nujum seperti filem Nujum Pak Belalang apabila beri jawapan mengenai isu projek Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

Padahal tender projek rel mega itu sebagai mana dijelaskan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, hanya ditutup pada 28 Disember depan dan kedua-dua negara boleh pilih tawaran terbaik dengan harga murah.

Sebaliknya, Timbalan Presiden PKR itu dengan angkuh sudah buat anggaran kasar nilai kos projek HSR tersebut yang lebih dua kali ganda daripada unjuran asal sambil dakwa konon ada caj tersembunyi untuk kepentingan kroni.

Mungkin sudah rasa ‘bahang’ soalan panas daripada BN, portal berita pro-PH terpaksa siar imej lesu Najib duduk di kerusi seumpama ‘terkejut’ dengar jawapan bernas Azmin berbanding wajah Azmin panik ‘putar belit’ jawab soalan.

Akibatnya, pada sebelah petang, barisan kerusi PH kosong senyap sunyi sehingga tamat persidangan pukul 5.30 petang, lantaran mengundang pertanyaan daripada anggota parlimen BN: Mana pergi semua menteri kerajaan?

Antaranya Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) dalam catatan menerusi akaun sosial Twitter menulis, menteri dan timbalan menteri sudah beredar dari dewan pada jam 4 petang, satu jam setengah lebih awal sebelum tamat sesi.

“Dulu mereka tanya kenapa kami selalu tak penuhi masa di Dewan Rakyat? Nampaknya mereka tidak sehebat mana. Semoga ada perubahan selepas ini,” katanya merujuk jemaah Kabinet kebetulan ada mesyuarat pada setiap Rabu.

Namun ujar Ahmad, pada kelazimannya timbalan menteri tidak menyertai mesyuarat Kabinet dan mereka itu yang sepatutnya berada dalam Dewan Rakyat pada sesi petang sebagai mewakili menteri bagi jawab soalan dikemukakan.

Isu itu turut disokong Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang mengesahkan tiada seorang pun menteri ada dalam dewan ketika ketua pembangkang, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahas usul titah Yang di-Pertuan Agong.

Justeru bekas Menteri Belia dan Sukan serta mantan Ketua Pemuda UMNO itu mencadangkan mesyuarat Kabinet diubah kepada Jumaat semasa tempoh sidang Dewan Rakyat memandangkan tiada persidangan pada hari tersebut.

“Ini untuk hormati urusan parlimen. Ia juga amalan pihak kerajaan BN terdahulu apabila sesi parlimen bersidang, mesyuarat jemaah menteri dibuat setiap hari Jumaat agar semua menteri boleh hadiri Parlimen pada hari Rabu.

“Apabila parlimen tidak bersidang, Kabinet boleh kembali bermesyuarat pada hari Rabu seperti biasa,” kata Khairy lagi yang turut kesal dengan cara urus tadbir kerajaan PH ketika ini kerana sepatutnya ia lebih baik daripada BN.

Catatan sindiran beliau menerusi laman sosial Twitter itu menerima pelbagai reaksi netizen yang menyelar wakil PH menjadikan mesyuarat mingguan Kabinet sebagai alasan bodoh untuk ‘ponteng’ sesi Parlimen. – Mynewshub.TV

Loading...