“Takut Gombak Yang Tidak Sokong Port Dickson”

KUALA LUMPUR – Kesetiaan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipertikaikan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Perkara tersebut ditimbulkan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) ketika bertanyakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat yang bertanyakan mengapa Anwar (PH-Port Dickson) tidak dilantik ke dalam Majlis Tindakan Ekonomi sedangkan beliau pernah memegang jawatan Menteri Kewangan.

Soalan Annuar disambut sindiran Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi dengan berkata, setelah 20 tahun, baru hari ini Annuar menyokong Anwar.

“Tuan Yang Dipertua, saya kenal lama dengan Ketereh ini. Baru pagi ini nak sokong Port Dickson. Selama 20 tahun, beliaulah yang terlibat menyerang Port Dickson habis-habisan,” katanya ketika sesi soal jawab sidang Dewan Rakyat di Parlimen di sini, hari ini.

Annuar kemudiannya sambil ketawa membangkitkan soal undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan mempertikaikan kesetiaan Mohamed Azmin kepada Anwar.

“Belum tahu sokong, ini cadangan. Nak sokong atau tak sokong bila ada undi tak percaya baru kita tentukan sokong tak sokong.

“Yang kita risau Gombak tak sokong Port Dickson, ini yang kita risau,” katanya mengundang gamat dalam dewan. – UTUSAN ONLINE

Loading...