Tak Salah Selebriti Jual Produk Untuk Sara Diri

KUALA LUMPUR – Pelakon dan penerbit terkenal, Datuk Rosyam Nor menyifatkan beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan tindakan segelintir selebriti tanah air yang menggunakan populariti mereka untuk menjual produk yang dihasilkan sendiri.

Walaupun begitu Rosyam berkata, setiap selebriti itu juga perlu bersedia dengan kemungkinan dikecam peminat sekiranya produk yang dihasilkan itu tidak berkualiti atau tidak memenuhi sesuatu standard yang telah ditetapkan.

“Saya tiada masalah sebab dulu kita tengok artis-artis popular digunakan syarikat-syarikat sebagai duta, mereka mengaut keuntungan.

“Saya rasa kalau artis sekarang (nak jual produk sendiri, tak jadi masalah) kalau itu salah satu cara nak meningkatkan ekonomi mereka. Kalau dia rasa ini dapat mempertingkatkan ekonomi mereka, go ahead.

“Kalau orang komen buku dia tak berkualiti, dia (selebriti) tanggung sendirilah.

“Saya tiada masalah, siapa-siapa nak buat apa-apa pun. Saya juga akan gunakan populariti untuk meraih pendapatan berdasarkan populariti saya. Tapi baik dan buruk itu atas kemampuan dia (selebriti) dan bagaimana dia bertindak kalau orang ada komen (menghentam atau mengkritik),” katanya ketika ditemui Mynewshub pada majlis pra-pelancaran drama mini bersiri Chor & Chah di sini, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pelakon menerbitkan sebuah buku yang teruk dikritik pelbagai pihak termasuk rakan artis sehingga ia menjadi fenomena beberapa minggu lalu.

Susulan penerbitan buku itu, pelakon tersebut teruk dikritik oleh seorang pelakon lelaki lain yang secara terbuka menghentamnya sehingga ia menjadi topik hangat di kebanyakan portal hiburan tempatan.

Baca: Sharnaaz Ahmad Sound Tepat Fattah Amin!

Mengulas isu hentaman secara terbuka itu, Rosyam berkata, “Itu terpulang pada peradaban masing-masing”.

“Kerana (kalau) itu cara dia saya tak boleh komen kepada seseorang yang mempunyai peradaban begitu, kalau dia berani memberikan kenyataan, kalau orang menghentam, dia (perlulah) menerima seadanya, mungkin dia ada cara dia,” ujarnya lagi.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai trend di kalangan yang gemar mengambil pelakon yang mempunyai bilangan pengikut ramai di laman sosial, Rosyam mempunyai pendapatnya yang tersendiri mengenai hal ini.

“Kalau kita nak tayang (drama lakonan) kat media sosial, kita melihat dia punya followers (pengikut), di samping itu juga kita melihat kepada bakat.  Kalau followers ramai, takde bakat tak guna juga.

“Zaman berubah kalau dulu orang melihat pelakon-pelakon itu banyak keluar kat surat khabar atau pun majalah, pelakon-pelakon ini menjadi popular.  Saya menerima keadaan ini kerana hari ini sudah jauh berbeza.

“Jadi saya rasa kita harus mengikut perkembangan zaman, bukan nak kata takde bakat langsung, mereka (pelakon) harus ada bakat kalau takde bakat memang pihak saya tak terima (ambil berlakon),” ujarnya yang mengambil ramai pelakon terkenal serta mempunyai jumlah pengikut yang ramai di laman Instagram bagi membintangi Chor & Chah yang disasarkan buat golongan belia.

Chor & Chah merupakan drama mini bersiri yang mengetengahkan isu keusahawanan dan ia merupakan kerjasama di antara Suhan Movies bersama SME Corp. untuk meningkatkan bilangan usahawan di kalangan para belia.

Juga: Selebriti Mampu Tarik Minat Belia Jadi Usahawan

Drama 12 episod yang akan disiarkan di laman YouTube bermula Mei depan dibintangi bintang popular di kaca televisyen dan alam maya, seperti Saharul Ridzwan, Ummi Nazeera, Hafreez Adam, Luqman Hafidz dan Kazar Saisi. – MYNEWSHUB.CC 

Loading...