Tak Perlu Nasihat Kabinet, Keputusan Berdasarkan Merit

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini berkata Jawatankuasa Khas Parlimen Melantik Jawatan Utama Perkhidmatan Awam (PSC) tidak berfungsi secara sah mengikut undang-undang.

Oleh yang demikian, Perdana Menteri itu berkata kerajaan perlu meminda Perlembagaan dan ia memerlukan undi dua pertiga Dewan Rakyat jika mahu PSC diberi kuasa muktlak.

“Kita tidak mempunyai PSC (secara sah), memang kita mahu adakan PSC tetapi kita perlu meminda Perlembagaan dan memerlukan dua pertiga majoriti.

“PSC yang sedia ada dilantik melalui pelantikan awam, tetapi tidak boleh berfungsi secara sah mengikut undang-undang.

“Jadi segala keputusan dibuat oleh Perdana Menteri, orang lain hanya boleh beri pandangan yang buat keputusan adalah perdana menteri,” katanya semasa sidang media selepas mempengerusi Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi di Putrajaya hari ini.

Ditanya mengenai pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, Dr. Mahathir berkata, sebagai Perdana Menteri, beliau tidak perlu merujuk kepada Kabinet untuk membuat keputusan termasuklah memilih mana-mana individu dalam perlantikan jawatan utama perkhidmatan awam.

“Saya tidak memerlukan nasihat Kabinet, saya boleh meminta pandangan orang ramai, tetapi saya buat keputusan berdasarkan merit,” katanya.

Isu bidang kuasa PSC hangat diperkatakan susulan pelantikan Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) oleh perdana menteri dikatakan tidak merujuk jawatankuasa itu.

PSC akan bermesyuarat Khamis ini bagi membincangkan pelantikan Latheefa itu.

Pengerusi PSC, William Leong berkata, beliau sendiri sudah bertemu dengan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof hari ini bagi memaklumkan mengenai mesyuarat berkenaan.

Akta SPRM 2009 membenarkan perdana menteri melantik Ketua Pesuruhjaya SPRM, tetapi Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto pilihan raya umum ke-14 berjanji pelantikan itu akan dibuat melalui PSC. – MalaysiaGazette

Loading...