“Tak Mungkin… Ismail Izzani Dah Macam Adik” – Ara Johari

PENYANYI Ara Johari memberitahu ada peminat Ismail Izzani yang memintanya tidak menjalinkan sebarang hubungan istimewa dengan remaja tersebut.

Menurut Ara, 21, dia pernah menerima mesej peribadi daripada peminat Ismail di laman sosial yang tidak merestui jika mereka menjadi pasangan kekasih.

“Ada peminat yang marah apabila saya muat naik gambar dengan Ismail. Lebih dahsyat membandingkan saya dengan bekas kekasih penyanyi itu.

“Sejujurnya, kami hanya berkawan rapat sahaja dan sudah lama kenal dulu. Saya menganggap dia seperti adik sendiri, tambahan pula dia pun masih muda lagi.

“Saya turut mengenali ibunya, Datin Suliza Salam dan kami selalu berhubung. Apa yang boleh saya kata, kami hanya berkawan dan tidak mungkin lebih daripada itu,” katanya kepada mStar Online.

Ara sudah lama berkawan dengan Ismail.

Sementara itu, Ara memberitahu dia masih belum memikirkan mengenai jodoh dan mahu fokus dengan karier nyanyian terlebih dahulu.

Namun, dia tidak menolak jika ditakdirkan bertemu jodoh dalam kalangan rakan penyanyi atau orang industri.

“Buat masa ini saya tak mahu fikirkan tentang jodoh atau perkahwinan. Sekarang ini fokus dan tumpuan saya lebih terarah dalam bidang nyanyian.

“Kalau jodoh sampai nanti saya terima sahaja, tak kisahlah siapa bakal suami itu, orang industri atau bukan,” katanya.

Dalam perkembangan yang lain, lagu nyanyian Ara berjudul Bunga layak beraksi di pentas separuh akhir Muzik-Muzik ke-33 (SFMM33).

Lagu ciptaan Hang Nadim bersama Laq dan Kadok itu akan berentap di minggu kedua SFMM33, pada 16 November depan. – mStar Online

Loading...