Tak Masuk Akal Caj RM1,000 Untuk Ujian Covid-19

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendedahkan, terdapat segelintir pusat perubatan dan klinik swasta mengenakan caj tinggi bagi ujian saringan Covid-19 sehingga mencecah RM1,000.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima beberapa aduan daripada individu yang menjalani ujian saringan di pusat perubatan terbabit.

“PPIM dimaklumkan, ada pusat perubatan dan klinik swasta yang mengenakan caj antara RM700 hingga RM1,000 bagi seorang individu.

“Harga itu tidak masuk akal dan membebankan pengguna. Pihak terbabit dilihat sengaja mengambil kesempatan terhadap orang ramai yang ingin mendapatkan perkhidmatan mereka.

“Dalam keadaan ekonomi yang terkesan akibat pandemik Covid-19, sudah tentu bukan mudah untuk orang ramai membelanjakan kos yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas pelepasan misi bantuan pasca banjir di pejabat PPIM di sini, hari ini.

Nadzim berkata, tindakan pusat perubatan terbabit boleh dianggap sebagai satu penipuan dan perlu dipandang serius oleh kerajaan.

Tambahnya, kerajaan perlu campur tangan dan mengawal kos saringan Covid-19 membabitkan pusat perubatan swasta bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan.

“Jangan ada sampai RM1,000 atau lebih. Itu membebankan, saya yakin pihak hospital pun ada tanggungjawab sosial untuk membantu dalam keadaan darurat dan kesulitan dihadapi ketika ini,” katanya.

Sementara itu, ditanya berkaitan kenaikan harga barangan terutama bekalan makanan mentah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau tidak menafikan ada peniaga mengambil kesempatan disebabkan bekalan yang terhad.

Justeru, katanya, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) perlu melakukan pemantauan bagi mengelak situasi lebih buruk.

Beliau turut bersetuju dengan cadangan masyarakat yang meminta skim kawalan harga diadakan bagi mengawal harga barangan keperluan seperti di musim perayaan. – myMetro Online