Tak Boleh Kalau ‘Lelaki Kahwin Lelaki’

KUALA LUMPUR – Ketika negara sedang panas dengan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), Tun Dr. Mahathir Mohamad turut tidak ke­tinggalan menggunakan anologi ‘lelaki kahwin lelaki’.

Cumanya, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu bukan merujuk bantahan terhadap perarakan menuntut hak LGBT kelmarin, sebaliknya beliau berkata demikian ketika mengulas kerajaan campuran PAS-UMNO yang diuar-uarkan sebagai kerajaan penyatuan ummah.

Perdana Menteri yang ditemui pemberita di pekarangan ba­ngunan Parlimen di sini hari ini berkata, terpulang kepada dua parti berkenaan untuk membentuk kerajaan campuran seperti yang disebut-sebut itu.

“Kalau dia nak kahwin dia kahwinlah, negara kita ini bebas, tapi kalau nak kahwin dengan lelaki tak bolehlah, tempat lain boleh,” kata Dr. Mahathir dalam nada sinis seperti mana kelazimannya.

Malah apabila ditanya pemberita sama ada wujud kebimbangan Kedah dan Perak akan terlepas kepada PAS-UMNO, Pengerusi PH berusia 94 tahun itu dalam riak muka bersahaja berkata dalam bahasa Inggeris:

“Kita tunggu tengok,” jelas­nya.

Penubuhan kerajaan penya­tu­an ummah di Kedah dan Perak yang dibentuk PH dengan majoriti tipis selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu menjadi cakap-cakap politik ketika ini susulan wujudnya kerjasama PAS-UMNO.

Sementara itu, menjawab soalan mengenai pendirian PH berkaitan ramai orang Melayu kini dilihat menyokong perjua­ngan PAS-UMNO, Dr. Mahathir berkata, kerajaan juga berusaha menjaga kepentingan orang Me­layu, cuma tidak melaungkannya.

“Mereka (PAS-UMNO) sebalik­nya cuba untuk memisahkan orang Melayu daripada kaum lain, ini sangat tidak baik dalam sebuah negara pelbagai kaum. Kepenti­ngan Melayu akan dipelihara oleh PH, kita mahu pastikan bukan sahaja saksama tetapi juga adil.

“Hubungan mesti saksama dan adil, bukan sekadar sama rata tetapi tanpa keadilan, kita mahu kekayaan negara ini dikongsi bersama,” katanya.

Loading...