Tak Adil Letakkan Kesalahan Pada Muhyiddin

KUALA LUMPUR – Tidak adil untuk meletakkan kesalahan pada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam situasi politik negara yang tidak menentu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata tindakan diambil oleh Perdana Menteri itu tidak seharusnya digambarkan sebagai penderhakaan, sebaliknya merupakan jalan keluar bagi menyelesaikan kemelut yang melanda negara.

“Nama beliau dicadang bagi selesaikan krisis, bukan soal penderhakaan yang digambarkan. Saya fikir rakyat harus lihat dalam konteks yang positif, bukan tuduh dan mencerca beliau,” katanya.

Menyentuh mengenai ucapan sulung Muhyiddin semalam yang berhasrat melantik anggota jemaah menteri dalam kalangan individu bersih, berintegriti dan berkaliber, Tuan Ibrahim berkata hasrat itu adalah seiring dengan kehendak rakyat yang menginginkan kerajaan yang bersih.

“Mudah-mudahan apa yang dihasratkan dapat dicapai, cuma daripada segi pembentukan kabinet kita akan tunggu beliau mengumumkannya,” katanya.

Tambah Tuan Ibrahim, Ahli Parlimen Pagoh itu seharusnya diberi peluang untuk menjalankan tugas mentadbir negara.

Semalam, Perdana Menteri dalam ucapannya bertajuk ‘Rayuan Kepada Rakyat Malaysia’ berjanji akan melantik anggota jemaah menteri daripada kalangan individu yang bersih, berintegriti dan berkaliber selain membanteras amalan rasuah dan salah guna kuasa dengan meningkatkan penguatkuasaan dan memperkemaskan undang-undang, peraturan serta amalan yang berkaitan.

Sementara itu, Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Madya Datuk Dr. Ismail Sualman, menyifatkan pelantikan Muhyiddin sebagai penawar kepada kemelut politik negara sejak hampir seminggu lalu.

Katanya, rakyat perlu bersikap terbuka menerima pelantikan itu serta memberi peluang kepada kerajaan baharu untuk mengemudi negara.

Pentadbiran di bawah Muhyiddin sebagai perdana menteri perlu berusaha ke arah memulihkan ekonomi, bagi mewujudkan persepsi positif negara luar terhadap Malaysia.

“Saya yakin perdana menteri dan barisan kabinet yang akan dibentuk mampu menyelesaikan amanah yang tertangguh sebelum ini, dan mengatasi kerisauan rakyat terhadap situasi politik negara.

“Berilah peluang kepada beliau untuk menggembeleng tenaga, untuk memulihkan hal ehwal negara termasuk pembangunan selain mengembalikan keyakinan pelabur,” katanya.

Bagi Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, Muhyiddin sebagai pemimpin prihatin yang tahu mengenai masalah rakyat, apabila turut menyentuh mengenai ekonomi dan keperluan rakyat dalam ucapan sulungnya.

“Saya gembira apabila perdana menteri berkata yang beliau akan memperbaiki kos kehidupan, ini menunjukkan yang beliau tahu masalah rakyat.

“Beliau juga akan meningkatkan kualiti pendidikan dan ini sangat penting untuk rakyat. Kita harap apa yang beliau ucapkan dan janji akan dilaksanakan, dalam tempoh tiga tahun ini,” katanya.

Loading...