Taiwan Antara Destinasi Pelancongan Mesra Muslim Pilihan

KUALA LUMPUR – Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) 2019 mencatatkan nilai jualan pakej perjalanan berjumlah RM200 juta sepanjang tempoh tiga hari program itu berlangsung ( 6-9 September), di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur.

Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang, berkata jumlah itu berkurangan sedikit berbanding RM220 juta pada pameran Mac lalu.

Beliau berkata, destinasi pilihan paling popular antaranya Guilin di China, Korea Selatan, Jepun, Hong Kong dan Taiwan dengan memilih pakej percutian Muslim.

“Tapak pameran yang menyediakan pakej percutian domestik tidak kurang hebatnya, pengunjung merebut peluang percutian dalam negara pada harga istimewa.

“Dianggarkan kira-kira 100,000 pengunjung hadir pada pameran kali ini,” katanya pada sidang akhbar selepas pameran berkenaan berakhir.

Program pertama MATTA Fair berlangsung pada 1991 hanya mencatatkan 8,000 pengunjung dengan nilai jualan RM10 juta.

Taiwan semakin mendapat perhatian di kalangan pengunjung Muslim tempatan berikutan kesungguhan pemerintah negara itu.

Kerajaan Taiwan melalui Taiwan Tourism melakukan banyak langkah promosi berterusan bagi membuka minda pengunjung Islam ke negara berkenaan.

Usaha berterusan Taiwan Tourism seperti melantik Mira Filzah sebagai duta, pengiklanan di televisyen dan media dalam talian, negara kecil itu kini mula mendapat perhatian.

Malah di Taiwan sendiri, pelbagai usaha dilakukan kerajaannya termasuk meningkatkan bilangan restoran halal, hotel mesra muslim dan kemudahan beribadat seperti surau di stesen keretapi.

Bilangan masjid yang berbelas buah bersama komuniti muslim di sana menambahkan lagi keyakinan orang ramai untuk berkunjung ke negara berkenaan.

Selain itu, kemudahan lain seperti perjalanan tanpa visa turut memainkan peranan mengapa lebih ramai pengunjung muslim tertarik untuk ke sana.

Justeru, tidak hairan jika Taiwan antara destinasi yang mendapat perhatian ramai pada MATTA Fair 2019 seperti yang dinyatakan oleh presidennya sendiri.

Bagi yang sedang merancang destinasi seterusnya, Taiwan harus diberikan pertimbangan yang sewajarnya kerana ia kini mula mendapat perhatian dunia sebagai destinasi yang indah dan mesra pelancong. – Mynewshub.TV

Loading...