Tahukah Anda Siapa Pegang Kunci Kaabah?

LEBIH 16 abad lalu, sebelum Islam diperkenalkan ke seluruh dunia, cucu-cucu lelaki Qusai bin Kilab bin Murrah memiliki tugasan khusus untuk jaga Kaabah, termasuklah kuncinya sendiri.

Salah satu cabang daripada keluarga Murrah, menurut laman berita tempatan Al Arabiya, adalah puak al-Shaiba yang diberi kunci kepada tapak suci itu oleh Nabi Muhammad SAW ketika tahun pembukaan kota Makkah.

Bani Shaiba atau anak-anak lelaki Shaiba merupakan puak yang memegang kunci Kaabah hari ini. Mereka bertanggungjawab atas ‘Sudnah’ Kaabah, yang bermaksud penjagaan sepenuh Kaabah.

Ini termasuk membuka dan menutupnya, membersih dan mencuci, serta jaga kain kiswah. Al Arabiya melaporkan, bahagian dalam Kaabah dicuci dua kali setahun iaitu hari pertama bulan Syaaban dan hari ke-15 Muharram.

Solat fardu subuh juga dilakukan di tapak suci al-Haram al-Makki itu sebelum proses pencucian dilakukan yang hanya air Zamzam dan air mawar sahaja digunakan sepanjang kerja berkenaan.

Sebuah video juga dikeluarkan mengenai seorang sheikh daripada puak Shaiba, Saleh al-Shaiba, yang menunjukkan kunci-kunci Kaabah, pintu Tawba yang memberi akses kepada bumbung Kaabah dan Makam Ibrahim.

“Kunci kepada pintu Kaabah penting dari segi aspek sejarah dan agama,” kata ahli sejarah dan anggota Majlis Shura, Dr. Mohammed al-Zulfah kepada Al Arabiya.

Beliau turut berkata bahaqa kunci berkenaan diperbuat daripada logam dan sepanjang 35 sentimeter. Ia pernah diubah dan dihasilkan beberapa kali sepanjang berabad-abad lalu.

Hari ini, kunci dan mangga Kaabah diperbuat daripada nikel, yang disalut dengan emas 18 karat. Manakala bahagian dalam kiswah adalah hijau, meskipun ia berwarna merah sebelum ini mengikut sejarah.

Al-Zulfah berkata bentuk kunci kerap berubah. Sebuah muzium di Turki memiliki 48 kunci Kaabah sejak era khalifah Uthmaniah, manakala di Arab Saudi, terdapat dua replika kunci yang diperbuat daripada emas asli.

Beliau berkata adalah suatu tradisi bagi kunci tersebut dipegang oleh anggota yang berusia paling tua dalam kalangan puak berkenaan. – Agensi

Loading...