Tahniah! Syafiq Yusof Dan Isteri Timang Puteri Kedua

PENGARAH filem terkenal, Mohd Syafiq Yusof, 25, berkongsi khabar gembira setelah isterinya selamat menimang cahaya mata perempuan kedua mereka, semalam.

Menerusi perkongsia di Instagram miliknya, Syafiq mengumumkan kelahiran puteri keduanya yang diberi nama Nuur Nusaybah dengan berat 3.6 kilogram.

Menerusi kapsyen yang ditulis Syafiq, nama tersebut diambil daripada seorang pejuang Muslimah Islam pertama.

“Nusaybah ialah seorang daripada srikandi Islam dan pejuang Muslimah Islam yang pertama. Dia turut serta dalam Perang Uhud, Perang Hudaibiyah, Perang Hunain dan Perang Yamamah serta menyaksikan Bait al-Aqabah.

“Nusaybah binti Kaab dikenal dengan jolokan Ummu Umara,” tulis Syafiq mengiringi gambar buah hati barunya itu.

Syafiq, yang merupakan anak kepada pengarah dan produser tersohor, Datuk Yusof Haslam, itu telah mendirikan rumah tangga bersama Aisyeah Zainal pada 5 April 2014 dan dikurniakan puteri sulung, Nuur Jannah dua tahun kemudian.

Filem terbaru pengarah muda berbakat itu, KL Special Force akan mula ditayangkan pada 8 Mac 2018 di lebih 100 pawagam seluruh negara dibintangi pelakon-pelakon terkenal seperti Fattah Amin, Datuk Rosyam Nor, Shaharudin Tambi dan abangnya Syamsul Yusof.

Sebelum ini, filem arahan Syafiq, ‘Abang Long Fadil 2’ mendapat kejayaan besar sehingga mendapat kutipan lebih 17 juta menjadikannya filem kutipan tertinggi selepas ‘Polis Evo’. – MYNEWSHUB.CC/EFFAN