“Tahniah Dan Syabas Kepada Semua Yang Dilantik”

KUALA LUMPUR – Pemangku Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan ucapan tahniahnya kepada kesemua ketua pergerakan parti yang berjaya dilantik dalam pemilihan yang diadakan serentak, semalam.

Zahid berkata, pemilihan bersifat terbuka yang dijalankan di semua peringkat itu membolehkan setiap ahli parti bertanding untuk setiap jawatan.

Ujarnya, keterbukaan pemilihan tanpa syarat tertentu yang diputuskan UMNO baru-baru ini membuktikan parti tersebut mengamalkan ibu segala demokrasi sejarah pemilihan parti sejak 1988.

“Tahniah dan syabas atas kemenangan semua Ketua-ketua Pergerakan pada pemilihan Sabtu lalu.

“Ini memaparkan UMNO kini lebih terbuka,  demokratik dan inklusif yang membolehkan lebih 165,000 perwakilan membuat pilihan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook miliknya hari ini.

Zahid berkata demikian sebagai mengulas mengenai pemilihan UMNO peringkat sayap yang berlangsung semalam.

Tambah Zahid, perkara tersebut merupakan langkah pertama menuju kepada pembaharuan UMNO agar parti keramat berkenaan terus relevan dalam pentas politik negara ini.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa ahli UMNO supaya bangkit dan bersatu demi kepentingan parti bagi terus memperkukuh dan mendapatkan semula kepercayaan rakyat Malaysia.

“Marilah bersama-sama terjemahkan ‘UMNO Bangkit’ yang kita laungkan sebagai slogan untuk terus memperkukuh dan merelevankan UMNO di hati rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan Bumiputera,” ujarnya

Sebanyak 191 bahagian UMNO mengundi bagi memilih kepemimpinan ketiga-tiga sayap parti untuk tempoh 2018 hingga 2021. Pemilihan bagi jawatan tertinggi UMNO pula dijadualkan berlangsung 30 Jun ini. – MYNEWSHUB.CC

Loading...