Tadbir Negeri Bukan Mudah – Abdul Khalid

SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakui bukan mudah untuk mentadbir negeri dengan berpaksikan kepada akauntabiliti dan ketelusan.

Menurutnya, dalam politik, kuasa dan wang didakwa mengatasi segala kepentingan lain.

Menceritakan kembali pengalamannya sebagai ahli politik sebelum ini, Abdul Khalid berkata, beliau berkecimpung dalam dunia politik kerana mahu membuktikan negara akan jauh lebih maju jika ditadbir dengan teratur.

“Dengan rendah diri saya ulangi kenyataan bahawa saya berkecimpung dalam politik kerana mahu mencari ruang dan peluang untuk buktikan negara akan jauh lebih maju dan makmur jika ditadbir oleh pemimpin jujur, amanah dan berpaksikan kepada akauntabiliti serta ketelusan.

“Saya terpaksa akui bahawa ia tidak semudah yang saya sangkakan kerana dalam politik, kuasa dan wang mengatasi segala kepentingan lain.

“Ini bertentangan dengan pendirian saya. Jelas sekali, saya amat tidak selesa dengan keadaan begitu,” tulisnya dalam kenyataan dimuat naik dalam akaun Facebooknya.

Abdul Khalid menceritakan pengalaman politiknya itu kerana ditanya sewaktu menghadiri jemputan program kepimpinan anjuran sebuah syarikat hartanah terkenal di negara ini Jumaat lalu.

Terdahulu, Abdul Khalid berkata, beliau berbesar hati berkongsi mengenai program dihadirinya di akaun Facebook kerana ia bertumpu kepada peristiwa dan misi Dawn Raid (misi Malaysia berjaya mengambil alih syarikat gergasi Guthrie milik kerajaan Britain pada 1981).

Menurutnya, peristiwa bersejarah itu sedang giat untuk difilemkan.

“Dalam program itu, saya berkongsi pengalaman sebagai salah seorang yang diamanahkan untuk menjayakan misi Dawn Raid.

“Saya tegaskan ketika misi itu matlamat kami hanya mahu membuktikan Malaysia mampu mentadbir syarikat dengan lebih baik dari pasukan British (bekas penjajah).

“Boleh saya katakan pada ketika itu semangat patriotik kami sangat tinggi. Pada kami semangat patriotik memberi maksud sanggup bekerja keras siang dan malam demi negara,” katanya.

Beliau berkata, memandangkan misi tersebut melibatkan maruah beberapa negara khusus Britain dan melibatkan kesan kewangan tinggi maka pasukannya sangat berdisiplin, teliti, jujur, setia dan sentiasa berpegang kepada sumpah kerahsiaan ketika menjawat jawatan masing-masing.

Katanya, atas dasar dan semangat itulah misi ‘Dawn Raid’ atau turut dikenali sebagai serangan subuh mencapai kejayaan.

“Kemahuan merampas Syarikat Guthrie daripada kerajaan British adalah kerana cintakan negara dan tidak ada langsung berkaitan dengan pulangan peribadi samada habuan kewangan mahupun kebendaan.

“Kejayaan pasukan kami juga kerana mendapat sepenuh kepercayaan dari pimpinan negara pada ketika itu yang diterajui Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Gabenor Bank Negara, Tun Ismail Mohd Ali (Allayarham),” katanya.

Beliau berkata, dalam program dihadirinya beliau turut menasihatkan warga syarikat hartanah berkenaan supaya melakukan kebaikan untuk membina negara dan tidak meletakkan habuan kewangan sebagai penanda aras mahupun matlamat akhir.

Loading...