Tabung Haji Semakin Teruk, Betul Ke?

PENGUMUMAN hibah Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) sebanyak 1.25 peratus awal bulan ini tidak diterima dengan baik dalam kalangan rakyat, khususnya pendeposit agensi itu sendiri.

Banyak teori ekonomi dilontarkan, tidak kurang menuding jari kepada pihak-pihak tertentu rentetan pengumuman hibah paling rendah dalam sejarah Tabung Haji itu.

Namun, sama ada pendeposit sedar atau tidak, jumlah hibah sebenar Tabung Haji bukanlah 1.25 peratus, tetapi 3.75 peratus.

Jadi, mengapa diumumkan 1.25 peratus? Kerana 2.5 peratus lagi merupakan zakat yang dibayarkan Tabung Haji bagi pihak pendeposit-pendepositnya.

Pembayaran zakat oleh Tabung Haji bagi pihak pendepositnya bukan baharu, tetapi telah menjadi amalan lembaga itu sebelum ini.

Jika diambil kira kadar penuh tanpa penolakan pembayaran zakat itu, kadar 3.75 peratus tersebut hampir menyamai dengan yang diberikan oleh institusi kewangan Islam lain untuk tempoh satu tahun.

Mengambil kira situasi kewangan global bagi tahun 2018, ditambah pula dengan prestasi tidak baik pasaran ekuiti negara, jumlah hibah yang diumumkan oleh Tabung Haji sewajarnya dihargai.

Pengurusan yang baharu nampaknya berupaya menawarkan pulangan pelaburan berpatutan dengan menstruktur semula portfolio pelaburan dalam jangka waktu singkat.

Cumanya, mungkin pengurusan baharu boleh memperbaiki daripada aspek komunikasi. Tabung Haji sepatutnya memberi penerangan terperinci mengenai pemberian hibah itu termasuklah 2.5 peratus potongan zakat yang telah dibayarkan bagi pihak pendeposit.

Ini sebenarnya penting untuk `menenangkan’ pendeposit, bahawa potongan zakat tersebut nilainya lebih besar dan paling penting memberi keberkatan. Lagipun majoriti yang menyimpan di Tabung Haji adalah untuk tujuan menunaikan ibadah haji.

Disebabkan itu, Tabung Haji perlu memperbanyakkan komunikasi dengan para pendeposit, lebih-lebih lagi menyentuh mengenai inisiatif pelaburan strategik dalam usaha mereka memulihkan kembali lembaga itu.

Jika boleh, perlu ada komunikasi, penerangan secara bulanan, sidang akhbar setiap bulan misalnya.

Langkah ini penting untuk membolehkan orang awam khususnya pendeposit bahawa pengurusan baharu sentiasa melihat dan meneroka peluang pelaburan baharu yang memberi keuntungan kepada pendeposit.

Selain itu, usaha seperti ini bertujuan meyakinkan para pelabur untuk kekal bersama Tabung Haji dan pada masa sama menarik pendeposit-pendeposit baharu, termasuklah mereka yang telah mengeluarkan simpanan kerana bimbang dengan ketidaktentuan melanda lembaga itu kebelakangan ini.

Penjelasan mengenai prestasi semasa pelaburan dan pemerolehan pelaburan baharu merupakan kunci kepada usaha mengembalikan keyakinan pendeposit untuk terus menyokong Tabung Haji.

Ini sekali gus akan memperlihatkan Tabung Haji bersikap telus dengan sentiasa memberi perkembangan terkini mengenai inisiatif strategik pelaburan mereka yang akhirnya akan memberi pulangan kepada pendeposit.

Dalam erti kata lain, pendeposit jangan terburu-buru untuk terus membawa keluar deposit masing-masing daripada Tabung Haji hanya kerana pengumuman kadar hibah.

Seperti dijelaskan di awal tadi, jumlah sebenarnya lebih tinggi dan hampir setara dengan yang ditawarkan institusi kewangan Islam lain.

Yang penting sekarang ialah teruskan memberi sokongan kepada Tabung Haji, demi kemaslahatan umat Islam di negara ini. – UTUSAN ONLINE

Loading...