Syed Saddiq Sahkan Berlaku Kecurian Di Rumah

KUALA LUMPUR – Ketua ARMADA Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengesahkan kecurian berlaku di kediaman beliau dan polis sudah membuat siasatan di rumah sejak malam tadi.

Bagaimanapun, beliau mendakwa, laporan media sebelum ini bahawa kehilangan RM250,000 merupakan wang BERSATU, adalah tidak benar.

“Saya telah membuat laporan polis terhadap kes kecurian yang berlaku di rumah saya. Pihak polis dan forensik sudah datang dan membuat siasatan di rumah sejak malam tadi.

“Buat masa ini, saya tidak dapat mengesahkan sebarang butiran atau spekulasi sehingga siasatan selesai.

“Laporan media bahawa RM250,000 itu merupakan wang BERSATU adalah tidak benar dan anggaran kecurian belum dapat disahkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq berharap semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan berita tidak sahih kepada orang ramai.

“Saya berterima kasih kepada pihak polis atas kerjasama yang sangat baik dan berharap kes ini dapat diselesaikan segera,” katanya. – BH Online

Loading...