Syed Saddiq Letak Jawatan Jika Terbukti Salah Guna Kuasa

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan dan menterinya tidak mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat yang dianugerahkan kontrak untuk mengendalikan Institut Kemahiran Belia Negara di Melaka, Selangor dan Perlis.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, setiap tender yang diberikan kepada mana-mana syarikat oleh kementerian, perlu melalui sistem perolehan dan e-perolehan sebelum melalui proses tender terbuka.

“Pada masa yang sama kita (kementerian) mempunyai tiga sistem semak imbang sedia ada di mana mereka perlu melalui sistem penilaian, teknikal dan kewangan…dan selepas itu akan memasuki lembaga perolehan yang dipengerusikan Ketua Setiausaha kementerian atau Timbalan Ketua Setiausaha kementerian yang juga ada wakil daripada Kementerian Kewangan dan Jabatan Kerja Raya.

“Maksudnya di sini agak sukar untuk tender ini disalahgunakan dan akhirnya hanya memanfaatkan segelintir pihak sahaja.

“Pada masa sama, kami juga telah memberhentikan amalan pejabat menteri boleh ada wakil ‘tender board’,” katanya ketika menggulung Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2020 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Sewaktu penggulungan itu, beberapa ahli parlimen mendesaknya meletakkan jawatan jika wujud kaitan antara KBS dan syarikat itu.

Syed Saddiq kemudian bangun dan menegaskan, perkara itu hanya akan dilakukannya jika dibuktikan bersalah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam isu pemerolehan tender itu.

“Wallahi, Wabillahi, Watallahi. ALLAH SWT sebagai bukti saya di sini. Kalau ada salah guna kuasa, penyelewengan dan SPRM sahkan saya salah guna kuasa, saya akan jadi orang pertama yang letak jawatan.

“Saya tidak takut dalam bab ini. Saya boleh namakan satu persatu tender sebelum ini dilakukan melalui rundingan terus dan tender terhad.

“Projek terbengkalai sehingga puluhan juta dibazirkan dan kontrak pergi kepada rakan sejawat dalam UMNO bahagian. Saya boleh buktikan,” katanya.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, ‘tender board’ hendaklah bebas daripada pengaruh menteri dan juga wakil daripada pejabat menteri untuk memastikan budaya integriti yang telus dapat diteruskan.

“Saya juga telah arahkan pegawai kementerian untuk membuat laporan kepada SPRM supaya sebarang tuduhan yang dikaitkan dengan kementerian dapat disiasat hingga ke lubang cacing. Saya pandang serius isu integriti di kementerian.

“Minggu lepas saya bersama dengan pimpinan tertinggi SPRM (berbincang) untuk memastikan semua pegawai di kementerian mengikut setiap prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan memastikan budaya integriti dan ketelusan dapat dijaga dengan rapi,” katanya.

Jelas Syed Saddiq, beliau tidak mempunyai autoriti (kuasa) dalam menentukan syarikat yang layak menerima kontrak daripada kementerian sebaliknya setiap syarikat hendaklah mengikut SOP yang telah ditetapkan.

Beliau juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang mempunyai bukti penyalahgunaan kuasa melibatkan kementeriannya untuk melaporkan terus kepada SPRM.

“Berani kerana benar… dalam konteks ini saya tidak takut. Saya telah serahkan kes ini kepada SPRM supaya tindakan sewajarnya boleh diambil,” katanya.

Terdahulu ketika sesi perbahasan, Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) membangkitkan isu berhubung tender terbuka makanan bermasak kepada tiga IKBN kepada sebuah syarikat yang sama.

Jalaluddin mempersoalkan kontrak itu diberikan kepada syarikat tertentu apabila lebih 6,000 syarikat Bumiputera layak untuk mengendalikan perniagaan makanan di institut berkenaan.

Loading...