Syed Saddiq Didakwa Pecah Amanah Wang Parti RM1 Juta

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan pecah amanah dana sebuah parti politik berjumlah RM1 juta.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, Syed Saddiq, 29, sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada) yang diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana Armada dituduh melakukan pecah amanah apabila dengan curangnya membuat pengeluaran tunai berjumlah RM1 juta.

Pengeluaran melalui cek CIMB Bank Berhad bernombor 000108 dibuat tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Tingkat Bawah, Menara CIMB, Jalan Stesen Sentral 2, di sini, pada 6 Mac 2020.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi sepuluh tahun dan dengan sebat serta denda.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Faridz Gohim Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir.

Manakala, Syed Saddiq diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Datuk Ambiga Sreenevasan. – myMetro Online