Syed Saddiq Dalam Kabinet Semasa Mansuh BIPK Diluluskan

KUALA LUMPUR – Kenyataan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersetuju menangguhkan keputusan memansuhkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) disifatkan sebagai drama terbaharu.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki berkata, Menteri Belia dan Sukan itu berada dalam Kabinet ketika kerajaan meluluskan pemotongan Elaun Kritikal untuk profesional muda.

“Apabila rakyat marah, cuba pula tonjolkan diri bagaikan HERO kononnya memujuk PM ke-7 untuk buat pusingan U kepada dasar yang mereka sendiri perkenalkan,” katanya melalui akaun Facebooknya.

Menerusi Twitternya, Syed Saddiq berkata: “Saya baru lepas berbincang dengan YAB @chedetofficial berkenaan isu “Allowance Critical”.

“Alhamdulillah. YAB PM bersetuju untuk tangguhkan pekeliling baru & untuk membincangkan perkara ini dalam mesyuarat kabinet yang akan datang,” katanya selepas satu pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, hari ini.

Syed Saddiq sebelum ini antara menteri yang menyarankan supaya elaun ahli politik dan menteri yang dipotong, bukannya elaun kritikal doktor, ahli farmasi serta jururawat muda. – MalaysiaGazette

Loading...