Syed Saddiq Bantah Lanjut Umur Bersara Kepada 65 Tahun

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menolak cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) untuk menaikkan umur persaraan dari 60 ke 65 tahun.

Ketua Armada Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, perbandingan dengan negara maju tidak tepat berikutan kadar pengangguran adalah berbeza.

“Kadar pengangguran belia Jepun hanya 3.4 peratus diikuti Singapura (5.9 peratus) dan Jerman (6.2 peratus). Di Malaysia ada 500,000 anak muda yang menganggur (10.7 peratus).

“Berikan keutamaan kepada anak muda untuk diberikan pekerjaan dab untuk dinaikkan pangkat berdasarkan merit, bukan sahaja faktor umur,” katanya menerusi status akaun Facebook miliknya hari ini.

Semalam, MTUC menggesa kerajaan memperkenalkan pemberian elaun kos sara hidup (COLA) bulanan sebanyak RM500 atau lebih kepada pekerja menerusi Bajet 2020, selain meningkatkan had umur persaraan mandatori kepada 65 tahun.

Setiausaha Agungnya, J. Solomon berkata, pemberian COLA kepada pekerja tidak boleh ditangguhkan lagi kerana kos sara hidup semakin meningkat, selain mengambil kira hasil kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru-baru ini yang mendapati Malaysia menggunakan kaedah lapuk untuk menetapkan Garis Pendapatan Kemiskinan (PLI) negara.

Tambah Syed Saddiq, beliau telah menghubungi Menteri Sumber Manusia dan menteri itu menjelaskan bahawa ini hanya cadangan dari Pihak MTUC yang belum dimuktamadkan. – UTUSAN ONLINE