Syed Azmi, Wardina Malukan Saya – Ustaz Kazim

KANTOI setelah terbongkar dirinya mendedahkan kes cabul konon berlaku di sebuah pusat pengajian agama milik pendakwah terkenal di Ipoh, Perak, aktivis sosial kontroversi Syed Azmi Alhabshi tampil membuat rayuan simpati.

Menurut laporan portal propembangkang, beliau menjelaskan tidak pernah langsung menyebut nama Datuk Ustaz Kazim Elias atau Pusat Pendidikan Al-Barakah diasaskan penceramah ternama itu ketika membuat tohmahan serangan seksual menerusi media sosial.

“Sekali lagi, saya tidak pernah sebut namanya dan sekolahnya dalam sebarang posting saya. Buat masa ini, ia tamparan terhadap perjalanan saya yang antara lain untuk mewujudkan kesedaran kanak-kanak,” rintihnya cuba meraih simpati daripada netizen tempatan.

Kenyataan terbaharu Syed Azmi yang cukup diingati kerana pernah menjadi penganjur program biadap I Want To Touch A Dog suatu ketika itu dilihat sebagai mengulas laporan polis oleh Kazim, 43; terhadap dirinya dan selebriti Wardina Safiyyah Fadlullah Wilmot.

“Jadi, tolonglah, doa untuk saya. Dan jika saya perlukan peguam, tolong berada di sana demi saya. Yang lain, tolong percaya pada anak kamu,” rayunya lagi menerusi akaun Facebook miliknya yang dipetik sebuah laman berita antikerajaan terkenal pada Sabtu.

Beliau bagaimanapun berkata perlu mengetahui isi kandungan laporan polis itu dahulu sebelum mengulas lanjut susulan tindakan Kazim membuat laporan polis pada Jumaat berkaitan tuduhan jahat konon berlaku serangan seksual ke atas pelajar pusat tersebut.

Syed Azmi, Wardina Malukan Saya - Ustaz Kazim

Sebagai pengetuanya, Kazim mendakwa dua individu terkenal itu membuat komen negatif mengenainya ekoran tersebar dakwaan konon berlaku amalan seks luar tabii di sebuah sekolah agama di Perak selepas beberapa ibu bapa mengadu anak mereka menjadi mangsa.

Sekolah itu dikatakan dimiliki seorang penceramah terkemuka. Ketua Polis Perak, Datuk Abdul Rahim Hanafi dilaporkan berkata setakat semalam pihaknya telah mengambil keterangan daripada 10 individu termasuk pelajar, pengadu dan wakil pihak sekolah.

Selain terkenal sebagai pendakwah, beliau pernah ditawarkan menganggotai Majlis Tertinggi UMNO pada November 2013. Bekas ahli seumur hidup PAS itu sebelum dipecat parti Islam tersebut bagaimanapun menolak tawaran oleh pihak UMNO berkenaan.

Wardina, 37, pernah membintangi beberapa drama seperti Kalam Cinta Rabiah, Maka Diciptakannya Perempuan dan filem Lagi-lagi Senario. Syed Azmi pula dikenali sebagai aktivis sosial yang terlibat dalam kerja kebajikan membantu golongan kurang bernasib baik.

Kazim dalam pada itu dilaporkan berkata bahawa komen yang dibuat Wardina dan Syed Azmi ‘sangat memalukan dirinya’. Semakan menerusi akaun Facebook milik Wardina menunjukkan dia pernah ada memberi komen balas berhubung isu panas berkenaan.

Bagaimanapun turut tertera peringatan pada akaun media sosial tersebut yang memberi peringatan keras bahawa tiada sesiapa pun diizinkan daripada mengambil sebarang petikan postingnya itu tanpa kebenaran. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA