“Syed Abdullah Diajak Duduk Depan”

KUALA LUMPUR – Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menjelaskan bahawa abangnya, Syed Abdullah diberikan tempat duduk depan setelah penganjur Grand Final sesi kelayakan e-sukan Sukan SEA, Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) menyedari kehadirannya.

Beliau berkata, dakwaan bahawa Syed Abdullah hadir ke program tersebut bagi mewakilinya adalah tidak benar dan pihak penganjur, ESM telah pun tampil memberi penjelasan berhubung dakwaan itu.

“Ia memang salah kerana ia tidak benar (tuduhan yang dilemparkan oleh masyarakat berhubung kehadiran Syed Abdullah dalam program itu).

“ESM telah pun mengeluarkan kenyataan untuk memperbetulkannya.

“Dia datang tak dijemput, tetapi bila dikenali diajak ke depan. Tak perlu pun sebarang layanan istimewa,” tulis ahli Parlimen Muar itu menerusi Twitter @SyedSaddiq hari ini.

Semalam, ESM memberitahu kehadiran Syed Abdullah ke program yang berlangsung di Central i-City, Shah Alam pada Sabtu lalu, atas kapasiti peribadi dan bukan mewakili adiknya, Syed Saddiq.

Dalam pada itu, Syed Saddiq menegaskan, beliau tidak akan membenarkan mana-mana ahli keluarganya untuk mewakilinya dalam apa jua majlis rasmi.

“Saya tidak akan membenarkan keluarga saya mewakili saya. Ia salah,” tulisnya. – UTUSAN ONLINE