Syatilla Kembali Berlakon, Anak Rindu Cium Telefon

SETAHUN lebih ‘menyepi’ selepas berkahwin dan berpantang, kini pelakon tinggi lampai Syatilla Melvin kembali semula beraksi di hadapan lensa kamera.

Namun apa yang memilukan hati ibu kepada seorang cahaya mata itu ialah apabila anaknya, Syeriv Samheizy telah mengucup telefon bimbit adiknya ketika mereka sedang berbual melalui aplikasi Face Time.

“Saya kembali bekerja setelah Mat Yip (panggilan manja untuk Syeriv) kini berusia sembilan bulan. Namun, memang tidak senang duduk dibuatnya apabila dia menangis dan cium telefon setiap kali kami guna FaceTime. Mungkin dia belum bersedia untuk berenggang dengan saya,” katanya dipetik daripada BH Online.

Keletah si kecil itu telah dirakamkan oleh adik beradik Syatilla ketika dia sedang menjalani penggambaran drama Sha Vs Shah yang memaparkan sekali lagi dia bergandingan bersama dengan aktor Kamal Adli.

Syatilla dan Kamal pernah bergandingan dalam drama Sha & Shah sekitar 2 tahun lalu.

Bagi Syatilla, pertama kalinya dia berenggang bersama dengan Mat Yip merupakan satu perkara yang membuatkan dia tidak senang duduk.

“Tidak guna khidmat pembantu rumah, semua perihal anak saya urus sendiri. Agaknya, sebab itulah Mat Yip rindukan saya kerana sebenarnya inilah kali pertama kami berjauhan,” tambahnya.

Bagi drama baharunya itu, dia cuma perlu menjalani penggambaran sehingga 5 Mac ini sahaja dan kemudian isteri kepada pelakon Shaheizy Sam itu dapat kembali semula kepada anak kesayangannya.

“Saya tidak mahu lagi berjauhan dengan anak selepas ini. Malah, saya juga berhasrat untuk membawa Mat Yip ke Bangkok, Thailand, atas urusan kerja di sana selama dua hari,” ujarnya.

Video keleteh Mat Yip telah mendapat perhatian ramai selepas ia dimuat naik menerusi akaun media sosial Syatilla, Sam dan si kecil itu sendiri.

Kebanyakan netizen yang menonton video tersebut berasa terharu dengan tindakan Mat Yip yang seperti menggambarkan perasaannya begitu merindui si ibu.

Kini, bilangan pengikut si kecil itu melalui laman sosial Instagram sudah hampir mencecah sebanyak 591,000!

Amboi… Kecil kecil dah ramai peminat. Ramai juga yang menyifatkan Mat Yip ini sebagai seorang kanak-kanak yang kacak walaupun masih di usia bayi. – MYNEWSHUB.CC/AH

Loading...