Syarikat Kumpul Barang Kitar Semula Didenda RM15K

KUALA LUMPUR – Sebuah syarikat pengumpulan barang kitar semula didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan longgok sisa pepejal terkawal iaitu sisa pepejal komersial, tahun lepas.

Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap syarikat Nature Waste Sdn Bhd yang diwakili pengarah syarikat tersebut Ng Peir Eng, 38, selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa telah melonggokkan sisa pepejal terkawal iaitu Sisa Pepejal Komersial di Lorong Haji Hamzah, Jalan Segambut di sini pada 1.50 tengah hari, 12 Oktober 2017.

Syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 71(1) Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 dan dihukum di bawah Seksyen 71(8) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Muhamad Yasser Mohd Nasri memohon supaya mahkamah mengambil kira kepentingan awam termasuk kos diambil kerajaan untuk kempen kebersihan.

Bagaimanapun, syarikat yang diwakili peguam Cy Low, memohon hukuman ringan dengan alasan syarikat tersebut telah memberi kerjasama yang baik dan merupakan kesalahan pertama syarikat. – BERNAMA

Loading...