Syarikat China Bersatu Sokong Huawei

SEMAKIN banyak syarikat China menunjukkan sokongan pada Huawei Technologies ekoran penangkapan ketua pegawai kewangannya di Kanada, dengan langkah termasuk memberi subsidi kepada kakitangan yang membeli telefon Huawei.

Banyak syarikat China memberi subsidi kepada kakitangan mereka yang membeli telefon Huawei. Kebanyakan memberi subsidi 10 hingga 20 peratus dari harga asal, malah ada yang membayarkan harga penuh.

Lebih 20 syarikat juga telah bersuara di media sosial mengumumkan akan menambah pembelian produk Huawei, seperti sistem pengurusan bisnesnya.

Sokongan ditunjukkan pelbagai jenis syarikat, daripada syarikat teknologi maklumat hingga syarikat makanan. Seorang pegawai kerajaan tempatan berkata beberapa ratus perniagaan sudah melaksanakan rancangan seperti ini di seluruh negara.

Syarikat elektronik Shanghai Youluoke Electronic and Technology menyediakan subsidi penuh hingga dua buah telefon Huawei bagi setiap pekerja, manakala pembuat peralatan Shenzhen Yidaheng Technology membayar 18 peratus harga produk Huawei atau ZTE dibeli pekerja.

Fuchun Technology, sebuah syarikat perkhidmatan komunikasi mengumumkan di media sosial pada 11 Disember yang ia akan memberikan setiap pekerja yang membeli telefon Huawei sebelum hujung tahun 2018 antara 100 hingga 500 yuan (AS$14.50 hingga AS$72.50).

Di sebuah syarikat pembuat minuman keras di Henan, pekerja dan pelanggan yang menunjukkan resit Huawei diberikan arak bernilai 30 peratus dari harga belian produk itu.

Meng Wanzhou, ketua pegawai kewangan Huawei ditahan di Vancouver, Kanada pada 1 Disember atas permintaan kerajaan Amerika Syarikat kerana disyaki melanggar peraturan AS yang mengharamkan transaksi dengan Iran. Kementerian luar China mengutuk tangkapan itu.

Ada syarikat yang bertindak balas dengan memboikot produk Apple, pesaing Huawei dari AS. Sebuah syarikat mesin di Shenzen, kota pangkalan Huawei, mengancam untuk merampas produk Apple milik pekerja yang engkar.

Pengguna China sering memboikot produk dari negara yang hubungannya dengan Beijing tegang.

Pada 2012, kedai milik syarikat Jepun dimusnahkan semasa protes berhubung Kepulauan Senkaku – disebut Diaoyu oleh China – yang jadi pertikaian China dan Jepun.

Tahun lepas, bisnes Korea Selatan, Hyundai Motor dan Lotte diboikot ekoran penempatan sistem peluru berpandu AS di negara itu. – Nikkei