Syafiq Kian Matang, Syamsul Bangga Kejayaan Adik

SETIAP kejayaan pasti bermula dengan kegagalan… Bagi pelakon dan pengarah terkenal, Syamsul Yusof menyifatkan kejayaan yang dicapai adiknya, Syafiq ketika ini bukanlah sesuatu yang mudah.

“Jujur saya katakan perjalanan Syafiq tidak semudah seperti apa yang kita sangkakan kerana filem dia sebelum ini ada juga yang tidak berjaya,” katanya dipetik daripada portal Astro Gempak.

Sebagai abang, Syamsul akui bahawa sifat matang ditunjukkan oleh Syafiq kini membuatkan setiap filem di bawah arahannya berjaya memenangi hati penonton malah tersenarai sebagai filem paling laris dalam masa singkat.

“Namun saya lihat dia tidak berputus asa sebaliknya naik semula apabila filem komedi arahannya, Abang Long Fadil mula dapat perhatian daripada penonton.

“Jadi, sebagai abang sudah pasti saya bangga dengan kejayaan dan pencapaiaan yang ditunjukkan oleh Syafiq serta dia juga telah menaikkan semangat saya untuk bersaing secara sihat dalam menghasilkan filem pada masa akan datang,” tambahnya lagi.

Terbaharu, satu lagi filem dibawah arahan Syafiq iaitu KL Special Force telah menerima banyak pujian daripada pelbagai pihak.

Malah, Datuk Rosyam Nor, telah memuji kegigihan Syafiq menghasilkan filem tersebut yang turut mengangkat dirinya sebagai seorang pejuang di dalam KL Special Force.

KL Sepcial Force merupakan filem aksi bercorak kepolisan yang mana mengetengahkan kegigihan pihak polis dalam membanteras jenayah rompakan serta perjuangan pihak berkuasa dalam menjalankan tugas sehingga ada yang sanggup mengabaikan keluarga.

Mengikut sumber BH Online, hari pertama tayangan, KL Special Force telah berjaya mencatat jumlah kutipan tertinggi iaitu hampir RM1 juta pada 8 Mac lalu.

Bagaimanapun, selepas empat hari ditayangkan, filem berkenaan berjaya meraih kutipan sebanyak RM4.7 juta sekali gus mencatat rekod baharu bagi Skop Production.

“Jumlah kutipan pada hari pertama tayangan termasuk ‘sneak preview‘, iaitu tayangan lewat malam Rabu, berjaya mencatat jumlah kutipan kira-kira RM900,000.

“Jumlah ini melebihi kutipan hari pertama filem Abang Long Fadil 2, tahun lalu,” kata Datuk Yusof Haslam selaku penerbit.

Selain Datuk Rosyam Nor, antara pelakon lain yang turut membintangi filem berkenaan ialah Fattah Amin, Tania Hudson, Puteri Balqis, Mustaqim Bahadon, Josiah Hogan, Ramona Zamzam, Shaharudin Tambi, Esma Danial dan ramai lagi. – MYNEWSHUB.CC/AH

Loading...