Syafinaz Bimbang Tiada Calon Datang Uji Bakat

DEBARAN… Pensyarah dan guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat antara empat penyanyi yang dipilih mengalas tanggungjawab menggilap bakat baharu dalam program realiti, Mentor musim ketujuh.

Syafinaz berkata, dia bersedia menyahut cabaran itu sebagai memenuhi tanggungjawab untuk memberi semula kepada masyarakat, terutama membimbing mereka yang serius ingin menjadi penyanyi.

“Sudah tiba masanya saya membimbing bakat baharu yang mempunyai visi dan matlamat. Dulu, saya terpaksa tolak pelawaan ini sebab sibuk dengan tugasan, tetapi apabila difikirkan balik, kerja memang tidak akan pernah habis.

“Cuma, saya takut tiada calon yang berani datang ke uji bakat. Saya tidak garang, sebaliknya hanya mahukan protege yang fokus dan sedia ikut tunjuk ajar,” katanya pada sidang media memperkenalkan Mentor, di ibu negara hari ini.

Sementara itu, penerbit eksekutifnya, Muhamad Sufian Che Isa berkata, pemilihan Syafinaz bersama Aizat Amdan, Hafiz Suip dan Siti Nordiana berdasarkan kredibiliti serta pengalaman mereka dalam arena muzik.

“Setiap mentor ada latar belakang cukup luas dalam industri muzik, meskipun berbeza era. Masing-masing miliki kekuatan tersendiri dari segi genre muzik dan imej tersendiri, membuatkan kami yakin kelebihan itu akan mewarnai lagi Mentor 7.

“Sebenarnya, sudah lama kami mempelawa Syafinaz dan mentor lain untuk menyertai kami, namun hanya pada musim terbaru mereka menyatakan persetujuan,” katanya mengenai program yang kali terakhir menemui penonton pada 2012.

Sesi uji bakat akan bermula di Hotel Promenade, Kota Kinabalu, Sabah pada 8 dan 19 Ogos ini, disusuli Sri Pentas pada 8 dan 9 September depan membabitkan pencarian protege Syafinaz, diikuti Aizat (15 dan 16 September), Hafiz (22 dan 23 September) dan Siti Nordiana (29 dan 30 September). – BH Online

Loading...