Swasta MAS: KJ Tak Mahu Era Tajudin Ramli Berulang

KUALA LUMPUR – Model penswastaan yang bakal dipraktiskan terhadap syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS) disarankan harus berbeza berbanding dasar penswastaan yang pernah digunakan kerajaan pada tahun 90-an, kata Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, syarat untuk penswastaan syarikat penerbangan itu perlu jelas kerana tidak mahu kerajaan pula yang akan menyuntik dana kepada MAS jika berlaku sebarang kerugian.

“Apa yang kita khuatir dengan langkah penswastaan MAS ini ialah pada akhirnya kerajaan akan menyuntik dana sekali lagi pada masa depan. Itulah perkara yang kita tidak mahu berulang lagi.

“Perkara ini pernah berlaku sebelum ini, apabila Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menswastakan MAS kepada tokoh perniagaan, Tan Sri Tajudin Ramli dan kerajaan Persekutuan terpaksa membelinya semula,” katanya ketika ditemui media di Lobi Parlimen, hari ini.

Khairy yang mesra disapa KJ menambah, sekiranya kerajaan menswastakan MAS terma dan syaratnya harus jelas agar kerajaan tidak dilihat sebagai langkah terakhir untuk menyelamatkan syarikat berkenaan.

Pada 1990-an dulu, MAS mula mengalami kerugian selepas Dr. Mahathir menswastakan syarikat berkenaan.

Sebelum ini, pengerusi syarikat penerbangan itu, Tajudin membuat pinjaman RM1.79 bilion pada 1994 bagi membeli 32 peratus pegangan saham.

Bagaimanapun, beliau menjual pegangan sahamnya dalam MAS pada 1997 dengan harga RM1.79 bilion ketika Asia berdepan krisis kewangan.

Kemudian, pada Ogos 2014, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah menyuntik modal sebanyak RM6 bilion melalui Khazanah Nasional (Khazanah) kepada MAS.

Ketika itu, Najib memberitahu suntikan itu lebih berbentuk pelaburan di mana ia perlu dijana semula.

Semalam, Perdana Menteri mendedahkan sudah ada pihak-pihak tertentu, dari dalam dan luar negara yang menyatakan hasrat membeli MAS.

Malah, Dr. Mahathir berkata, MAS menjadi penyumbang terbesar susut nilai Khazanah walaupun sudah melantik pengurus dari luar negara untuk kendalikan masalah syarikat tersebut. – Sinar Harian

Loading...