Suspek Utama Bakar Kereta Mufti Perlis Ditahan

KANGAR – Polis Perlis berjaya menahan suspek utama yang membakar kereta rasmi mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin di negeri ini, kelmarin.

Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd, berkata suspek yang dikenali Zaini itu disyaki bertanggungjawab membayar upah kepada seorang lagi suspek dikenali Mie Tomoi melakukan perkara tersebut.

Menurutnya, pihaknya masih lagi memburu Mie Tomoi dan yakin suspek itu mampu diberkas dalam tempoh terdekat ini.

“Secara keseluruhan sebanyak lima suspek yang terlibat dengan kes itu sedang direman untuk membantu siasatan,” katanya

Dalam pada itu, hasil siasatan terperinci pihaknya mendapati Zaini dan Mie Tomoi juga adalah suspek yang mencederakan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr. Hazman Hassan pada September tahun lalu.

“Zaini adalah suspek utama dalam kedua-dua kes ini dan dia mengupah Mie Tomoi untuk melakukannya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan polis menahan seorang penganggur berusia 36 tahun dan memburu lagi empat suspek yang terbabit dalam kejadian bakar kereta rasmi Mohd Asri di kediamannya pada 22 Mac lalu.

Kereta jenis Honda Accord tersebut dibakar pada bahagian bonet, selain cermin hadapan dipecahkan dan dipercayai ia adalah perbuatan khianat oleh pihak tertentu.

Kejadian berkenaan disedari oleh ahli keluarga Mufti Perlis itu ketika sedang melakukan persiapan untuk solat Subuh. – Sinar Harian

Loading...