Suspek Pencemaran Toksik Tidak Didakwa Hari Ini

JOHOR BAHRU – Pendakwaan seorang suspek kes pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang tidak diadakan hari ini.

Perkara itu disahkan Exco Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Negeri, Sahruddin Jamal ketika dihubungi sebentar tadi.

“Kertas siasatan mahkamah telah dihantar kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) tetapi pihak berkenaan meminta Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk menambah beberapa lagi maklumat.

“Pendakwaan masib boleh belum dibuat sehingga mendapatkan arahan lanjut dari pihak TPR,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Terdahulu, kira -kira 20 pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di perkarangan Mahkamah Majistret, di sini seawal jam 7 pagi untuk membuat liputan mengenai pendakwaan tersebut.

Difahamkan, suspek merupakan pengusaha sebuah kilang tayar kitar semula di Kulai yang ditahan JAS.

Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Inovasi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc), Yeo Bee Yin memaklumkan kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan telah diserahkan kepada pejabat TPR untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, sekiranya penelitian selesai dibuat, suspek yang ditahan baru-baru ini akan didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat seawal hari ini.

“Kertas siasatan bagi kes ini telah dihantar ke pejabat timbalan pendakwa raya sebentar tadi. Suspek ini akan berhadapan pertuduhan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1975,” katanya. – Sinar Harian

Loading...